GEDONG: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bercadang membangunkan pelbagai pusat Islam di negara ini seperti masjid dan surau sebagai antara destinasi tarikan pelancong Islam.

Sehubungan itu, Menterinya Datuk Seri Nancy Shukry berkata, masjid tidak akan dianggap sebagai tempat untuk melakukan ibadah semata-mata.

“Sebaliknya mampu menjadi tarikan pelancong dan menjana pendapatan penduduk setempat dalam industri pelancongan berasaskan kebudayaan dan produk masyarakat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Penyerahan Cek Masjid dan Simbolik Sumbangan al-Quran kepada Masjid dan Surau di Masjid Alkawthar di sini, semalam.

Menurutnya lagi, mereka yang berminat terlibat dalam segmen pelancongan baharu ini akan dibimbing berkaitan persijilan halal, pelancongan mesra Muslim, penjenamaan dan pemasaran produk pelancongan Islam.

“Sebagai projek perintis kita (Motac) akan memilih beberapa masjid di Sadong Jaya dalam kawasan Parlimen Batang Sadong untuk melaksanakan inisiatif baharu ini sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

“Kita yakin cadangan projek pembangunan ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada penduduk terutama masyarakat Islam setempat,” katanya.

Masjid Al-Kawthar Gedong dan Masjid Kampung Gumpe serta 10 surau di kawasan Gedong menerima sumbangan dan beberapa naskhah al-Quran. Turut menerima sumbangan ialah masjid dan surau di kawasan Zon Pangkor. Sebelum ini, Nancy turut mengadakan acara yang sama di Sadong Jaya pada Jumaat dan di Simunjan pada sebelah petang.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong memberitahu, kawasan Batang Sadong mempunyai banyak budaya dan produk pelancongan yang boleh dipromosikan sebagai tarikan pelancongan.

“Antaranya ialah danggit iaitu sejenis makanan yang berasaskan pekasam ikan tilapia hitam yang menjadi kegemaran penduduk di Gedong,” tambahnya.

Menurutnya, danggit sejenis makanan yang hanya terdapat di kawasan Gedong selain makanan yang dikenali sebagai tumpik lemantak yang diperbuat daripada tepung rumbia.

Pegawai Daerah Simunjan Abdul Khalid Manap turut hadir.