SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, sebahagian besar sektor perniagaan, sama ada besar, sederhana atau kecil, terjejas teruk.

Mujurlah PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan menyusul selepas itu, sekali gus memberi ruang kepada peniaga untuk bangkit semula.

Namun masih ada yang bergelut, cuba untuk pulih semula.

Namun, tidak bagi Runai Borneo Crafts, yang menjual kraf tangan tradisional Iban.

Pandemik Covid-19 memberi rahmat kepada mereka.

Demikian kata pemiliknya, Ophelia Vanessa Runai Isik, 31.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKP, Runai Borneo Crafts semakin popular, menerusi perniagaan secara digital.

“Saya menubuhkan Runai Borneo Crafts sejak 2013. Ketika itu saya masih belajar.

“Apabila wabak Covid-19 merebak sehingga menjejaskan kebanyakan sektor perniagaan, saya sangat bersyukur kerana perniagaan yang bertapak sejak tujuh tahun lalu kurang terjejas,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di MJC.

Jelasnya, ketika itu beliau hanya mengalami sedikit masalah mengirim barang kepada pelanggan akibat PKP.

Mengimbau semula permulaan perniagaan, Ophelia berkata, sokongan kuat daripada ibu bapa memberi semangat kepadanya untuk terus maju.

“Ibu saya sangat meminati kraf tangan Iban. Dari situ saya mendapat idea untuk menjual kraf tangan tradisional suku kaum di Sarawak itu.

“Ketika itu saya masih belajar, namun atas usaha gigih dan dorongan ibu bapa, saya memberanikan diri menjual kraf tangan tradisional secara dalam talian,” katanya.

Bijak letak harga

Wanita yang berasal dari Betong itu berkata, perniagaan secara dalam talian mempunyai cabaran tersendiri.

“Ia kelihatan agak mudah, namun ia tidaklah semudah itu.

“Salah satu daripadanya ialah persaingan sengit. Ini kerana kraf tangan yang dijual dalam talian ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, malah pembeli akan membuat perbandingan dalam aspek harga, rupa bentuk dan kualiti.

“Oleh itu, saya harus bijak meletakkan harga yang berpatutan agar tidak terlalu mahal dan tidak merugikan perniagaan,” katanya.

Ujarnya lagi, permintaan tinggi setiap kali menjelang Gawai Dayak kerana ketika itu masyarakat Iban akan mencari pakaian tradisional.

“Antara barangan keperluan yang mereka cari ialah pakaian tradisional seperti kain tenun, pua kumbu, baju burung, manik, baju Orang Ulu, baju gagong dan sebagainya.

“Bagi set lengkap pakaian tradisional Iban, saya jual pada harga RM700 sehingga RM1,000 lebih.

“Berkat kesabaran, kini ‘page’ Runai Borneo Crafts mempunyai 4,517 orang pengikut di facebook,” katanya.

Tambah Ophelia, ia bukan sahaja berkembang di Sarawak, malah turut mendapat sambutan di Sabah.

“Kebanyakan pelanggan saya berbangsa Iban, tetapi ada juga pelanggan dari Sabah yang meminati kraf tangan Sarawak.

“Itulah kelebihannya apabila kita menjual secara dalam talian kerana semua orang boleh nampak barangan yang kita jual,” katanya.

Selain menjual kraf tangan, Runai Enterprise turut menjual alat tulis, kelengkapan pejabat, mesin untuk kegunaan pejabat dan pakaian seragam.

Untuk keterangan lanjut mengenai Runai Borneo Crafts layari laman Runai Borneo Crafts atau menghubungi Ophelia Vanessa Runai Isik di talian 014-6815489.