KOTA SAMARAHAN: Unimas memutuskan untuk menangguh kemasukan pelajar baharu dan semasa dari Sabah.

Menurut kenyataan Unimas Global semalam, penangguhan itu dilakukan sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Sesi pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar terlibat akan dijalankan secara dalam talian,” ujar kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook Unimas, semalam.

Kenyataan itu juga memaklumkan, pelajar yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan pergerakan balik ke kampus boleh diajukan kepada Pusat Khidmat Pelajar di pautan http://www.hep.unimas.my/ contact-us.

Manakala, sebarang pertanyaan berkaitan sesi pengajaran dan pembelajaran boleh diajukan kepada fakulti masing-masing.

Pada 24 September lalu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengumumkan bahawa pergerakan masuk dari Sabah ke Sarawak akan diperketatkan.

Ia dikuatkuasakan bermula 25 September hingga ke tarikh yang dimaklumkan kelak, ekoran peningkatan kes Covid-19 di Sabah.