KUCHING: Pembinaan Masjid Darul Naim Kampung Lintang di sini dijangka siap hujung tahun ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurutnya, projek berkenaan kini berjalan lancar walaupun mengalami sedikit kelewatan daripada jadual yang ditetapkan disebabkan beberapa kekangan seperti PKP.

“Ini kerana ada beberapa bahan yang diimport dari luar negara masih belum tiba disebabkan negara-negara terbabit masih menutup pintu sempadan sejak penularan Covid-19 bermula Mac lalu.

“Bagaimanapun kita akan memantau kerja pembinaan dan berharap ia akan siap secepat mungkin,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek Masjid Darul Naim di Kampung Lintang di sini semalam.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM250,000 melalui geran projek kecil luar bandarnya kepada jawatankuasa masjid berkenaan.

Katanya, ia susulan daripada permohonan jawatankuasa masjid untuk dana tambahan bagi menambah baik hiasan dalaman masjid itu.

“Diharapkan dana ini akan digunakan sebaiknya untuk hiasan dalaman masjid itu nanti,” katanya.

Justeru, Fadillah berkata dana tambahan itu menjadikan kos pembinaan masjid tersebut adalah sebanyak RM8.25 juta.

Mula dibina pada hujung 2018, Masjid Darul Naim Kampung Lintang mampu menampung seramai 1,500 jemaah dalam satu-satu masa selain dilengkapi kemudahan maklumat teknologi moden.