PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta yakin pasukannya mampu melakar kemenangan ke atas Liverpool apabila berkunjung ke Anfield untuk aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi Selasa ini (3.15 pagi).

Keyakinan itu berdasarkan kejayaan The Gunners merekodkan dua kemenangan berturut-turut ke atas skuad bimbingan Jurgen Klopp sebelum ini.

Arsenal berjaya mengutip enam mata maksimum dalam dua perlawanan awal liga musim ini tetapi dijangka berdepan ujian sebenar apabila bertemu Liverpool yang ditabalkan sebagai juara liga musim lalu.

Liverpool turut mencatatkan dua kemenangan awal musim ini tetapi mengalami kekalahan di Stadium Emirates dalam aksi liga, Julai lalu selain tewas kepada Arsenal menerusi penentuan penalti bagi aksi Piala Perisai Komuniti, bulan lalu.

“Kami sedar standard yang dimiliki Liverpool dalam saingan liga, betapa konsistennya mereka dan sebab itu mereka berjaya mendominasi setiap aspek dalam permainan.

“Jadi, kami perlu berada pada tahap terbaik. Kami perlu beri tentangan yang hebat kepada pasukan ini dan diharapkan pemain sudah bersedia,” kata Arteta.

Arteta, berkata adalah lebih mudah beraksi dalam stadium yang kosong di Anfield berbanding di hadapan penyokong setia Liverpool.

“Saya fikir permainan mereka bertambah baik. Ada kelemahan tetapi mereka tetapi mereka tetap pasukan yang menakjubkan,” katanya. – AFP