KUCHING: Misteri kebakaran dinihari membabitkan dua buah kenderaan di Kampung Segong Bau kini masih dalam siasatan.

Insiden dilaporkan berlaku sekitar jam 12.09 tengah malam itu menyaksikan dua kenderaan masing-masing jenis Proton Wira dan Ford Ranger terbakar secara keseluruhan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kebakaran berjaya dikawal sejurus ketibaan pasukan operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Bau.

“Kebakaran telah menyebabkan kedua-dua kenderaan hangus 100 peratus.

“Api berjaya dipadam dengan menggunakan salur jentera sehingga api padam sepenuhnya,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pemilik kenderaan terbabit ditemui selamat dan berada di lokasi kejadian.

Beliau bagaimanapun mengesahkan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran masih dijalankan.

Operasi seterusnya tamat pada jam 1 pagi.