BETONG: Amalan perbankan digital yang dicadang dilaksanakan di Sarawak dilihat akan menggalakkan penyertaan usahawan untuk mempraktikkan pengurusan digital dalam perniagaan masing-masing.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, tindakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dilihat sebagai selangkah lagi ke depan untuk kemajuan Sarawak.

“Saya menyokong penuh usaha kerajaan membangunkan perbankan digital di negeri ini dengan serius di negeri ini.

“Sebab itu, kerajaan hari ini agresif untuk membangunkan teknologi digital,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Jelasnya, langkah tersebut juga akan menjadikan Sarawak lebih berdaya saing dalam sistem amalan pengurusan perbankan.

SEMOGA DIBERKATI… Razi memimpin bacaan doa meminta Allah SWT mengurniakan kesihatan dan ilham kepimpinan terbaik kepada pemimpin PBB dan GPS pada Konvensyen Khas PBB Zon Betong.

Abang Johari terdahulu mendedahkan Kerajaan Sarawak telah memohon lesen perbankan digital kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada Majlis Pelancaran Menara dan Perkhidmatan Telekomunikasi Smart 300 di Luban Ulu.

Razi pada Konvensyen Khas PBB Zon Betong diberi penghormatan untuk memimpin bacaan doa dengan harapan Allah SWT mengurniakan kesihatan dan ilham kepimpinan terbaik kepada pemimpin khususnya Abang Johari serta semua pemimpin PBB dan GPS.

“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Engkau kurniakanlah kesihatan dan ilham kepimpinan terbaik kepada pemimpin kami khususnya kepada Abang Johari serta keseluruhan pemimpin di dalam PBB Dan GPS,” katanya.

Diminta mengulas usul penubuhan Lembaga Pembangunan Pesisir atau Agensi Pembangunan Pesisir, beliau mengakui ia amat ditunggu-tunggu oleh penduduk pesisir.

“Saya juga seperti wakil rakyat pesisir lain, amat mengharapkan ia dapat ditubuhkan segera kerana ia dipercayai mampu mengurus dan membangunkan kawasan pesisir secara lebih inklusif.

“Sudah pasti hasrat untuk melihat Abang Johari sendiri menjadi pengemudi agensi berkenaan amat besar,” tambahnya.