KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun mengaku bersalah atas 15 pertuduhan melibatkan penipuan pembayaran yuran kelas memandu yang dilakukannya antara Mei 2019 hingga Ogos tahun ini.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam akan ditempatkan di Penjara Puncak Borneo sehingga tarikh sebutan semula kes. Ketua Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Supt Maria Rasid berkata, suspek mengaku bersalah dalam pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuching di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan tersebut.

“Majistret Mohd Syukri Mokhtar telah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan satu sebatan bagi lima pertuduhan kes (kes serentak). Tertuduh mengaku bersalah atas semua pertuduhan.

“Manakala Majistret Morni Linta Mokhtar telah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 29 September (Selasa depan),” katanya menerusi satu kenyataan.

Diikuti Majistret Zaiton Annuar telah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan bagi setiap lima pertuduan kes. Jika disabitkan kesalahan jelasnya, tertuduh akan dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta sebatan dan denda.

“Tertuduh sebelum ini ditangkap di Daerah Kuching pada 23 September lalu. “Sebanyak 13 kertas siasatan bagi Daerah Kuching telah dibuka terhadap tertuduh dengan melibatkan kerugian keseluruhan RM8,450,” ujarnya.

Dedahnya lagi, tertuduh melakukan kes penipuan semasa berada di Daerah Kuching – tertuduh bertindak sebagai tenaga pengajar pusat memandu.

“Tertuduh telah mengarah mangsamangsa iaitu pelajar kelas memandu untuk membuat pembayaran kononnya bagi yuran ujian kelas memandu.

“Seterusnya apabila mangsa telah membuat bayaran kepada tertuduh secara tunai dan pindahan telah dibuat ke akaun bank tertuduh, namun bayaran tidak diserahkan kepada pihak majikan sebaliknya digunakan untuk tujuan peribadi,” jelasnya.

Dalam pada itu jaminan tunai sebanyak RM3,000 ditawarkan kepada tertuduh dengan dua penjamin tempatan bagi lima pertuduhan yang telah dibacakan.