KUCHING: Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengambil inisiatif menjadikan kedai terbiar sebagai perpustakaan komuniti untuk kegunaan penduduk Kampung Gita Tengah di sini.

Adun Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kedai terbiar tersebut dilitupi semak-samun dan menjadi sarang aktiviti tidak sihat.

“Melalui inisiatif ini, kita akan bersihkan tempat ini daripada aktiviti negatif penduduk setempat,” katanya.

Beliau menambah, perkara ini penting kerana objektif utama adalah untuk melihat anak-anak muda membangun menjadi individu yang berguna dan berjaya.

“Kita akan sediakan tempat yang kondusif untuk anak-anak kita belajar dan beriadah,” katanya ketika pelancaran program Kebersihan dan Keindahan Kawasan Gita Tengah sekali gus merasmikan Perpustakaan Komuniti DBKU Taman Mawar di sini, semalam.

Projek yang bernilai RM120,000 itu melibatkan naik taraf tiga daripada lima lot kedai untuk dijadikan pusat komuniti yang boleh digunakan penduduk setempat dan sekitarnya.

“Setelah berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg… beliau bersetuju untuk membeli dua lagi lot kedai sebagai pusat komuniti.

“Sekarang kita masih dalam proses untuk mencari pemilik kedai sebelum ini,” jelasnya.

Turut hadir ialah Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Junaidi Reduan.