KUCHING: Rakyat Sarawak yang mempunyai kesulitan ketika berada di Semenanjung dialu-alukan menghubungi Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Jaminan itu dibuat oleh Uncle Kentang ketika menjadi tetamu khas secara dalam talian di Pusat Penerangan Islam Sarawak (SIIC) bersempena sambutan ulang tahun ke-12 di sini, semalam.

“Kami berjanji kepada rakyat Sarawak yang datang ke sini (Semenanjung), kalau tidak ada wang untuk makan, tiada tempat tinggal, hubungi kami, kami akan bantu.

“Inilah kecantikan dan keunikan budaya tolong-menolong di Malaysia, kita menolong tidak mengira bangsa ataupun agama,” katanya.

Menurutnya, beliau bersyukur dikurniakan kesihatan dan kemampuan yang meningkatkan semangatnya untuk memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.

“Apabila kita tolong orang, manfaat yang kita peroleh adalah rasa gembira dan perasaan senang hati.

“Saya sangat suka akan Sarawak, negeri yang menjadi contoh perpaduan di Malaysia.

Orang Semenanjung harus banyak belajar daripada orang Sarawak,” ujarnya.

Uncle Kentang pernah membantu lelaki tempatan dari Sarawak yang berjalan kaki sejauh 80 kilometer dari Selayang ke KLIA untuk mengejar penerbangan pulang ke Sarawak dan memberinya wang saku sebanyak RM200.

Terdahulu, Ketua Pegawai Esekutif SIIC Zabariah Matali dalam ucapannya percaya melalui majlis itu semua pihak boleh berkomunikasi, memahami dan menguatkan lagi kesatuan untuk mewujudkan perpaduan.

Sesi perkongsian bertajuk “Mari Berkongsi Aman dan Harmoni: Membantu Tanpa Halangan” membuka ruang kepada semua wakil persatuan untuk berkongsi mengenai keharmonian dalam agama masing-masing.

“Saya berharap melalui majlis ini, semua komuniti terutamanya warga Sarawak boleh mengambil peluang untuk menyumbang lebih banyak ilmu dan keharmonian dalam masyarakat sehingga ke peringkat global.

“Sambutan ulang tahun ke-12 ini lebih bermakna apabila disambut bersama-sama rakan untuk kita berkongsi cara kita membantu tanpa halangan dalam masyarakat terutamanya ketika kegawatan pendemik ini,” katanya.

Terdapat tujuh organisasi hadir iaitu Persatuan Buddha Malaysia Cawangan Sarawak; Masyarakat Buddha Kuching; Majlis Kerohanian Biha Sarawak; Malaysian Hindu Sangam; Kuil Sikh Sarawak; Gereja Katolik: Keuskupan Agung Kuching; Pegawai Hal Ehwal Islam UiTM Samarahan dan tetamu khas Uncle Kentang.