BINTANGOR: Kerajaan terus memberi tumpuan memperkasakan sektor pertanian kerana menyedari berpotensi besar bidang itu dalam membantu pembangunan sosioekonomi rakyat khususnya di daerah ini.

Adun Meradong, Datuk Ding Koung Hiing berkata, sumber semula jadi mampu menjadi penyumbang bagi memastikan sektor pertanian di Meradong terus berkembang pada masa akan datang.

Malah katanya, lokasi strategik Meradong yang memiliki rangkaian utama logistik seperti jalan raya mampu memudahkan penduduk untuk memasarkan produk pertanian.

“Kerajaan melalui Jabatan Pertanian menyediakan peruntukan yang cukup besar untuk memajukan sektor ini.

Malah, kita memperkenalkan pelbagai pendekatan terkini bagi memastikannya terus berkembang.

“Inisiatif itu juga bertujuan mengalak penyertaan masyarakat terutama generasi muda dalam bidang ini,” katanya pada majlis perasmian Program Jangkauan Pertanian Komuniti (AgriCOP) Siri Tiga 2020 di Dewan Serbaguna, Simpang Jalan Lasi, KJD Bintangor.

Beliau berkata, Sarawak komited memperkasakan konsep pertanian pintar bagi mencapai matlamat menjadikan negeri ini sebagai pengeluar dan pengeksport makanan utama negara menjelang 2030.

Menurutnya, sektor pertanian perlu terus dimodenkan melalui penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti, selain memperkuhkan rangkaian bekalan.

Pada masa yang sama katanya, kedudukan yang strategik dan memiliki iklim tropika, termasuk taburan hujan yang banyak, selain mempunyai tenaga kerja yang rajin menjadi penggerak utama bagi transformasi sektor berkenaan.

“Sehubungan itu, saya berharap masyarakat terutama golongan belia agar lebih terbuka dan positif terhadap bidang ini.

Potensi besar bidang ini boleh dipelopori sebagai sumber ekonomi utama untuk membina kehidupan lebih terjamin,” katanya.

Beliau juga berharap program anjuran Jabatan Pertanian Daerah Meradong itu menjadi platform untuk membina hubungan kerjasama strategik antara penduduk dengan agensi kerajaan lain.

“Saya melihat peserta menunjukkan minat dan kerjasama cukup baik. Mudah-mudahan penganjuran AgriCOP dapat memartabatkan bidang pertanian terutama di kawasan ini,” katanya.

Pada program sama, Ding menyerahkan Bantuan Input Peralatan Perikanan Nelayan (BIPPN) DUN Meradong berjumlah RM80,000 kepada 40 orang nelayan.