KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menempelak pihak tertentu yang mendakwa penubuhan Sekolah Menengah Antarabangsa Sarawak melanggar undang-undang.

Tegasnya, sebab utama penubuhan lima sekolah berkenaan ialah untuk memberi pendidikan berkualiti kepada anak Sarawak daripada keluarga kurang mampu yang cemerlang dalam pendidikan.

“Ya, saya percaya pada sistem pendidikan kita sendiri.

Tetapi kadang-kadang dasarnya terus berubah apabila seorang menteri baharu masuk.

Inilah masalah yang sedang kita hadapi.

“Oleh itu, saya menubuhkan syarikat di bawah Yayasan Sarawak untuk membina sekolah menengah antarabangsa berdasarkan sukatan pelajaran antarabangsa yang diiktiraf oleh universiti di dunia.

“Ini kerana yuran di sekolah swasta sangat mahal.

Sia-sia jika anak-anak yang berjaya cemerlang dalam peperiksaan tetapi ibu bapa tidak mampu menghantar mereka ke sana.

Ia adalah pembaziran bakat dan ilmu.

Jadi, saya mengilhamkan penubuhan sekolah antarabangsa ini,” katanya.

Abang Johari berkata demikian dalam Pagi Ahad Bersama KM: Sesi Dialog Bersama Usahawan Muda di Sarawak di Hotel Pullman di sini, pada Ahad.

Menjelas lanjut, beliau berkata sekolah berkenaan juga ada asrama yang bukan hanya dijadikan tempat tinggal tetapi di situlah, pembinaan watak pelajar dapat dibentuk.

“Orang berbakat mesti bersaing dengan orang berbakat.

Maksud saya, jika anda meletakkan anak anda yang berbakat dengan yang tidak berbakat, anak itu tidak dapat berkembang dan standardnya akan statik.

“Saya tidak mengatakan bahawa standard kampung tidak baik untuk perkembangan anak kerana ada kawasan luar bandar tertentu yang baik.

Tetapi apabila anda dapat memasuki Universiti Stanford, mereka mempunyai standard tersendiri dan banyak pakar dihasilkan dari sana,” ujarnya.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Teo Kok Seong mendakwa, pendidikan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan penubuhan sekolah antarabangsa milik negeri ini bertentangan dengan Akta Pendidikan kerana mewajibkan semua sekolah kerajaan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.