KUCHING: Kebanyakan penduduk yang bakal berpindah ke Darul Hana melahirkan keterujaan selepas melihat kemajuan pembinaan rumah dan kemudahan yang disediakan.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia secara tidak langsung akan melancarkan proses perpindahan kumpulan pertama dari tiga kampung.

Menurutnya, kumpulan pertama yang berpindah seawal hujung tahun ini akan melibatkan penduduk dari Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Pulo Ulu.

“Rata-rata penduduk kampung teruja untuk berpindah ke kawasan ini selepas melihat kualiti rumah dan kemudahan lengkap yang disediakan.

“Kumpulan pertama merangkumi 564 unit rumah pelbagai bentuk dengan lapan kategori reka bentuk utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Projek Pembangunan Darul Hana di sini, semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, kebanyakan rumah untuk kumpulan pertama hampir siap sepenuhnya.

Beliau menambah, tempoh perpindahan untuk kumpulan pertama dijangka memakan masa tiga hingga enam bulan.

“Penduduk yang berpindah tidak akan dibebani dengan sebarang bayaran termasuk urusan berkaitan kontraktor, peguam atau kemudahan utiliti,” ujarnya.

Dr Abdul Rahman turut berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana prihatin dengan pembangunan Darul Hana.

“Pembangunan ini dilancarkan pada 2011 dan Ketua Menteri terlibat secara langsung untuk memastikan setiap aspek dilaksanakan secara teliti bagi memberi kehidupan terbaik kepada masyarakat,” jelasnya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Asman Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif LCDA Nor-E Fawdzie Salleh, Penghulu Sedik Sitam dan wakil agensi dan AJK PBB.