KUCHING: Pengeluaran lada negara mengalami penurunan pada tahun ini berbanding tahun lepas susulan penularan wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Willie Mongin berkata, pada tahun lepas sebanyak 35,539 tan metrik lada dikeluarkan.

“Setakat ini, pengeluaran lada adalah di antara 28,000 hingga 29,000 tan metrik iaitu jauh lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun kita bernasib baik kerana terdapat segmen yang membantu termasuk industri lada termasuk menjual produk mereka secara dalam talian sehingga menjangkau pasaran luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Amanat dan Penyampaian Bantuan Insentif Pekebun Lada di Ibu Pejabat Lembaga Lada Malaysia MPB di sini, semalam.

Willie menambah, walaupun pengeluaran lada menunjukkan penurunan yang ketara, namun pekebun kecil lada tidak boleh dipaksa untuk meningkatkan pengeluaran kerana mereka turut berdepan dengan masalah lain seperti faktor cuaca.

“Faktor lain seperti harga turut melemahkan semangat pekebun lada apabila penurunan mendadak bagi harga lada hitam RM14 hingga RM18 sekilo.

“Manakala bagi lada putih ia turun RM40 hingga RM45 sekilo.

Penurunan ini melemahkan semangat mereka,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, ia sedikit sebanyak menimbulkan kekangan menyebabkan negara cuma mampu mengeluarkan 30,000 tan metrik.

“Untuk mencapai sasaran itu, kita kena mengeluarkan dalam lingkungan 4,000 hingga 5,000 tan metrik supaya mencapai jumlah sama dengan tahun lepas,” ujarnya lagi.

Dalam hal berkaitan, sebanyak 98 peratus tanaman lada ditanam di Sarawak dan telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan setiap tahun dengan sumbangan yang penting kepada pembangunan ekonomi luar bandar terutamanya di Sarawak.

Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar dunia iaitu dengan pengeluaran sebanyak 35,539 tan metrik.

Berdasarkan data di dalam sistem E-Pekebun MPB setakat 15 September 2020, jumlah pekebun lada di Malaysia sehingga kini telah mencecah 36,682 orang dengan keluasan tanaman seluas 7,659 hektar.

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia Stanley Liew Joon Kong.