KUCHING: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukan satu perkara yang mengejutkan. Timbalan Ketua PBB Cawangan Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, ia sudah seperti apa yang dijangkakan.

“Sudah pasti terdapat saingan sengit dalam perkara ini tetapi keputusan sudah ada dan kita melihat Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menguasai PRN Sabah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuih bulan sempena Pesta Kuih Bulan di SJKC Chung Hua No. 4 Jalan Nanas Barat, pada Ahad.

Tambahnya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 38 kerusi dan majoriti itu sesuatu yang meyakinkan.

“Saya rasa mereka perlu melantik tujuh lagi untuk menstabilkan kerajaan. “Bagaimanapun, mereka sudah memenangi PRN dan akan membentuk kerajaan baharu, insyaAllah,” jelasnya.

Terdahulu, keputusan PRN Sabah menunjukkan GRS memenangi 38 kerusi dengan menewaskan Warisan Plus yang hanya memperoleh 32 kerusi.

Sementara itu, ketika menjawab soalan adakah kemenangan GRS meningkatkan keyakinan GPS untuk menghadapi PRN yang dijangka berlaku pada tahun ini, Ibrahim berkata, GPS berdiri sendiri dan langsung tidak sama seperti yang berlaku di Sabah.

“GPS memang menyokong PN dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan tetapi kita bukan salah satu daripadanya. “Disebabkan itu, Kerajaan Persekutuan dikenali sebagai Kerajaan PN Plus GPS,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas isu hangat berhubung pelantikan Ketua Menteri Sabah katanya, Sarawak tidak mencampuri urusan tersebut dan menyerahkan kepada negeri itu sendiri. “GPS hanya menjaga Sarawak dan tidak akan mencampuri apaapa yang berlaku di Sabah.

“Kita juga tidak berkempen di sana,” tegasnya. Ditanya mengenai desas-desus Pilihan Raya Umum mengejut bakal berlaku, Ibrahim enggan memberi sebarang komen.

“Saya tiada komen untuk perkara ini kerana hanya Perdana Menteri yang tahu. “Kerajaan masih ada. Jika ada pihak yang mendakwa mereka ingin membentuk kerajaan baharu, mereka perlu menunjukkan angka dan Yang Di-Pertuan Agong akan membuat keputusan,” katanya lagi.

Untuk rekod, GRS terdiri daripada BN, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Manakala Warisan Plus terdiri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).