MIRI: Program Karnival Pengguna Lokasi Awam Pembangunan Industri Asas Tani (IAT) dan Pemasaran Digital yang diadakan di Coco Cabana di sini mendapat sambutan memberangsangkan pada minggu lepas.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Sarawak Datuk Dr Mat Sani Hassan berkata, sambutan orang tempatan terhadap karnival tersebut menunjukkan hasil positif apabila ramai yang datang mengunjungi program yang diadakan selama dua hari pada hujung minggu lepas.

“Nampaknya sambutan begitu menggalakkan dengan kehadiran ramai pengunjung dan mungkin kerana tempat ini memang tumpuan orang ramai.

“Program ini untuk mempromosikan produk usahawan IAT yang ada di Miri sekali gus memperkenalkan usahawan baharu yang mempunyai produk sendiri.

“Hari ini, beberapa usahawan baharu dijemput dan diberikan peluang untuk mengadakan jualan promosi kepada pengunjung,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Karnival Pengguna Pembangunan IAT dan Pemasaran Digital.

Difahamkan, seramai 24 usahawan yang mempamerkan produk asas tani manakala yang lain-lain berasaskan makanan.

Pelbagai aktiviti lain dijalankan dan antaranya demontrasi masakan dan persembahan busker.

Pasar Tani Coco Cabana diadakan selama dua hari iaitu hujung minggu pada awal bulan dan akhir bulan sejak 25 Januari lalu.

Turut hadir Ketua Unit Pasar Tani Yusuf Noh, Ketua Unit Pemasaran Digital IAT, Joblee Nahri, Pegawai Fama Bahagian Miri Wan Habib Wan Rahman.