LAWAS: Kawasan Limbang dan Lawas akan terus maju pada masa akan datang menerusi pelaksanaan pelbagai projek yang dirancang Kerajaan Sarawak di wilayah utara ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata antaranya Lebuh Raya Pesisir Utara yang dijangka siap dalam tempoh empat tahun akan datang, setelah dibatalkan oleh Kerajaan PH.

Menurutnya, lebuh raya ini akan menghubungkan Miri-Maru di Mulu ke Limbang dan Gunung Buda sehingga ke Lawas sekali gus menjadi rangkaian jalan raya yang lebih efisien di kawasan utara kerana berhampiran Brunei, Sabah dan Indonesia.

Beliau menambah, rangkaian lebuh raya itu turut menghubungkan Lawas ke Long Semado, Ba’Kelalan dan Bario.

“Misalnya pelancong yang datang ke Mulu boleh singgah di Limbang.

Bermakna ekonomi Limbang dan Lawas akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Punang Lama di sini semalam.

Selain itu, Abang Johari berkata Lawas juga bakal dibangunkan dengan loji penapisan minyak bernilai RM20.8 bilion, sekali gus menjadi batu loncatan kepada pembangunan kawasan utara dan ekonomi Sarawak secara keseluruhannya.

“Ada syarikat yang hendak melabur berbilion ringgit bagi loji penapisan minyak di Lawas.

“Sebab itu kita mengubah lokasi Lapangan Terbang Lawas.

“Mula-mula Kerajaan Persekutuan hendak membina Lapangan Terbang Lawas tetapi Pakatan Harapan membatalkannya, jadi kita binalah.

“Bermakna kita akan ada sistem pengangkutan yang baik,” katanya.

Pada masa sama katanya, pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Lawas juga bakal menjadi ikon bagi kawasan itu.