LENSUS Met dan Jebiren Boret mencuri tumpuan setelah muncul juara Kategori Masters Juara Antara Juara Kejohanan Gusti Lengan 2020 yang berlangsung di Redeems, Singai, Bau baru-baru ini.

Lensus muncul juara kategori lengan kiri, manakala Jebiren juara kategori lengan kanan.

Menurut Presiden Persatuan Armsport Sarawak (SASA), Matthew Barin sejumlah 150 peserta dari Lawas, Miri, Bintulu, Sibu, Bintangor, Sri Aman, Kota Samarahan, Kuching, Bau, Serikin menyertai kejohanan edisi ketiga ini.

“Sebanyak 24 kategori untuk tangan kiri dan kanan dipertandingkan.

“Gusti Lengan di Sarawak bermula dengan penubuhan SASA pada 2016. Sejak itu sukan gusti lengan semakin popular,” ujar Matthew.

Malah katanya, penubuhan persatuan/kelab turut diadakan di Miri, Bintulu, Bintangor dan sekitar Kuching.

“Ini dibuktikan apabila ramai atlet dari Miri, Bintulu, Bintangor, Sibu meraih pingat emas, perak dan gangsa dalam kejohanan peringkat Sarawak,” jelasnya.

Dalam pada itu, SASA mempunyai Pelan Strategik 5 Tahun (2020 hingga 2025) yang dilancarkan baru-baru ini.

Oleh itu, Kejohanan Gusti Lengan di Bau merupakan sebahagian daripada pelan strategik ini.

Ia telah dirasmikan oleh Pengerusi Perbadanan Pembangunan Borneo merangkap Presiden Redeems, Datuk Peter Nansian Ngusie.

“Kejohanan ini adalah proses pemilihan atlet untuk mewakili Sarawak ke Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan 2020 yang akan diadakan pada 7 dan 8 November depan di Paradigm Mall, Petaling Jaya,” kata Matthew.

“Kita akan berusaha untuk menghantar juara setiap kategori untuk bersaing di peringkat Kebangsaan.

“Ia menjanjikan saingan hebat kerana kebanyakan negeri sudah lama bergiat aktif dalam sukan ini.

Namun kita berjanji untuk memberikan tentangan hebat,” ujar Matthew.

“Di samping itu, kita juga berharap agar Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan pihak berkaitan memberi sokongan terhadap sukan ini,” katanya.