LAWAS: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan mengabaikan hak Sarawak walaupun mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan hak Sarawak terus dipertahankan dan dijaga demi kepentingan rakyat serta negeri ini.

“Kita mempunyai pendekatan bijak dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kita berbaik dengan Kerajaan Persekutuan tetapi di sampingnya kita pertahankan hak. Hak ini akan kita jaga sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Punang Lama di sini, semalam yang turut dihadiri isterinya, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Henry Sum Agung, Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah dan Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Abang Johari mengingatkan rakyat Sarawak supaya menjaga perpaduan agar negeri ini terus aman dan membangun.

Katanya, perpaduan kukuh yang dinikmati masyarakat Bumi Kenyalang ini merupakan kurniaan Tuhan, selain pendapatan dan sumber buminya.

“Kalau kita pecah, huru-hara orang lain akan untung. Sebab itulah kita harus berjaga-jaga kerana musim lumba perahu ini (pilihan raya) akan bermacam-macam parti tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

“Jadi jaga-jagalah kerana bagi kita hanya orang Sarawak dapat menjaga Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata GPS enggan masuk campur dalam kemelut politik yang berlaku di Semenanjung Malaysia yang menyaksikan perebutan kuasa Perdana Menteri.

Katanya, GPS juga kekal dengan keputusan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri demi kestabilan negara.

“Jadi kita di Sarawak jaga diri sendiri. Orang lain mana katanya lah asal kita aman dan membangunkan rakyat,” katanya.