KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang berusaha mencari pendekatan terbaik untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat khususnya di kawasan terpencil.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian ditugaskan untuk mengkaji dan mencari pendekatan tersebut.

“Kerajaan Sarawak mempunyai dua pendekatan untuk menyelesaikan masalah perhubungan iaitu perlu memperbaiki infrastruktur jalan raya bagi membawa pesakit ke hospital terdekat.

“Ini kerana di daerah terpencil, kita tidak boleh bergantung pada pengangkutan udara semata-mata. Jika cuaca buruk, pengangkutan udara tidak dapat digunakan.

“Satu lagi, mengapa saya ingin meningkatkan semua infrastruktur digital ialah supaya kita dapat menggunakan teleperubatan. “Dengan cara ini, doktor dapat melakukan pemeriksaan kesihatan tanpa perlu ada perjumpaan secara fizikal.

“Jadi, Sarawak akan menuju ke arah itu,” katanya bercakap ketika Pagi Ahad Bersama KM: Sesi Dialog Bersama Usahawan Muda di Sarawak di Hotel Pullman di sini, pada Ahad.

Bagaimanapun, katanya Sarawak menghadapi dilema disebabkan penjagaan kesihatan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Seperti yang anda ketahui, pelaburan dalam penjagaan kesihatan cukup besar, untuk membina hospital sangat besar dan kita memerlukan bakat, doktor serta semua itu.

“Itulah sebabnya jika anda menyedari bahawa hospital kita bergantung kepada Kerajaan Persekutuan dan di bawah perlembagaan, kita tidak boleh bersuara mengenai perkara ini.

“Tetapi sekarang kita berunding dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Justeru, kita ingin penjagaan kesihatan dimasukkan ke dalam Daftar Serentak demi meningkatkan perkhidmatan kesihatan di negeri ini,” katanya.

Abang Johari menambah, hospital swasta dialu-alukan untuk mendirikan kemudahan mereka di kawasan luar bandar, tetapi tidak menolak realiti mengenai kos perubatannya agak mahal.