KUCHING: Keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Sabah tidak akan mencerminkan situasi pada PRN Sarawak yang dijangka tidak lama lagi, kata Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar).

Menurutnya, ia kerana persepsi dan sentimen masyarakat Sabah dan Sarawak adalah berbeza. “Mana-mana pilihan raya negeri adalah berbeza. Sabah mempunyai sentimen dan persepsi rakyatnya sendiri.

Sarawak juga berbeza begitu juga dengan Semenanjung. “Oleh itu, penting di Sarawak bahawa GPS memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Diharapkan apa yang terbaik ini diterima oleh rakyat yang akhirnya akan menyokong dan memberi peluang lagi kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan GPS untuk terus membawa Sarawak ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat tapak pembinaan bangunan Masjid Darul Naim di Kampung Lintang di sini, pada Ahad.

Mengenai keputusan PRN-16 Sabah yang berpihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata itu menunjukkan proses demokrasi berjalan dengan baik.

Justeru beliau berharap agar selepas ini keutamaan diletakkan semula dalam usaha memerangi dan mengekang penularan Covid19 serta tumpuan untuk memberi yang terbaik sama ada kepada negeri dan negara.

Tegas Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, semua pihak harus bekerjasama dan berganding bahu untuk mencari penyelesaian bagi menangani masalah ini demi kepentingan rakyat.

“Masa ini bukan untuk kita berpolitik tetapi memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat,” katanya.