SEPANG: Proses menunggu bagi penumpang dari Sabah untuk membuat saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini didapati kurang dari tiga jam dalam suasana yang terkawal, berbanding sehingga enam jam seperti yang dilaporkan semalam.

Seramai 50 orang diasingkan dalam satu kumpulan untuk menjalani ujian dan diberi penerangan jelas oleh petugas kesihatan mengenai tanggungjawab setiap individu termasuk kuarantin di rumah.

Angela Ng, 39, dari Tenom berkata keadaan di balai ketibaan kelihatan teratur sementara menunggu gilirannya membuat ujian.

“Masa menunggu pun tidak lama dalam masa tiga jam. Ujian saringan dan kuarantin wajib adalah bagus untuk memastikan tiada jangkitan kepada komuniti dan semua orang perlu mematuhi SOP (prosedur operasi standard),” katanya yang pulang ke Sabah untuk mengundi.

Ng berkata kesesakan dan masa menunggu lama yang dilaporkan semalam berkemungkinan disebabkan ramai penumpang bergegas untuk pulang kerana perlu bekerja pada hari Isnin.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Zakaria Shaaban berkata kepadatan penumpang di balai ketibaan dijangka hanya berlaku pada minggu ini susulan berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Kesesakan semalam adalah kerana ketibaan serentak dan jumlah penumpang yang ramai jadi masa menunggu itu panjang,” katanya, sambil menambah tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah petugas kesihatan telah melancarkan proses hari ini.

Menurutnya, dianggarkan 4,400 orang tiba dari Sabah hari ini, melibatkan 29 penerbangan iaitu 10 ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala 19 di klia2.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Sabtu mengumumkan peraturan yang mewajibkan semua individu yang baru tiba dari Sabah menjalani saringan COVID-19 di pintu masuk bermula semalam  hingga 10 Okt.

Petugas media, Nor Sarah Fatihah Abdullah, 33, berkata beliau lega dengan pengumuman kerajaan berhubung saringan wajib itu kerana beliau berada di Sabah selama 19 hari untuk bertugas sempena  PRN  Sabah.

“Memang tiap-tiap hari akan pantau perkembangan COVID-19 yang KKM buat. Masa sebelum pengumuman saringan wajib, memang kita mengharapkan ujian saringan dari pejabat bila balik Kuala Lumpur,” katanya yang bimbang dengan peningkatan kes COVID-19 di Sabah.

Seorang penumpang dikenali sebagai Siti Nur Aqilah, 22, dari Seremban yang ke Kota Kinabalu pada Sabtu lepas untuk urusan keluarga pula berkata dia pada mulanya risau dengan peraturan mengenai ujian saringan wajib.

“Selepas dapat tahu pengumuman itu, rasa risau juga tapi sedar itu tanggungjawab dan untuk kebaikan komuniti supaya tiada penularan baharu,” katanya, yang memuji petugas kesihatan serta keselamatan kerana memberi perkhidmatan baik dan maklumat yang jelas.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh yang juga baru tiba dari Kota Kinabalu berkata sistem di balai ketibaan untuk ujian saringan adalah lebih teratur termasuk perhatian khas yang diberikan kepada warga emas dan kanak-kanak.

Beliau turut menyeru agar orang ramai terus patuh kepada SOP COVID-19 yang ditetapkan KKM bagi membendung penularan wabak berkenaan.

— BERNAMA