KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yakin Sarawak akan dapat bekerjasama baik dengan Kerajaan Sabah yang baharu di bawah pimpinan Ketua Menteri yang baru dilantik, Datuk Hajiji Mohd Noor.

Beliau berkata, ini kerana Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat bekerjasama dengan baik tanpa mengira politik, selagi ia untuk kepentingan Malaysia dan Sarawak amnya.

“Sarawak sentiasa dapat bekerja dengan baik dengan sesiapa sahaja. “Apa yang kami (Kerajaan Sarawak) perjuangkan adalah untuk kestabilan politik Malaysia, itulah sebabnya kami menyokong Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kerajaan kepada Keuskupan Anglikan di Kuching untuk pembangunan semula kolej teologi dan pusat latihan “House of the Epiphany” di sini, semalam.

Hajiji selaku Pengerusi PN Sabah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu, tiga hari selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Sabah pada minggu lalu.