LAWAS: Kerajaan Sarawak akan memulakan “inisiatif baharu” dalam masa terdekat untuk mempertingkatkan hasil kepada negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini semalam.

Beliau berkata, inisiatif baharu tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, inisiatif berkenaan mempunyai kaitan dengan sumber asli negeri ini setelah hak ke atasnya telah diiktiraf oleh mahkamah baru-baru ini.

“Ya, memang benar Sarawak mempunyai 54 peratus rizab gas negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama komuniti di stadium tertutup di sini.

Abang Johari berkata, fasa terakhir beberapa siri kajian dilaksanakan berhubung cadangan pembinaan penapisan minyak Lawas.

“Selain itu, Kerajaan Sarawak telah membuat keputusan untuk memindahkan cadangan tapak lapangan terbang baharu Lawas ke lokasi lain untuk memberi laluan kepada projek tersebut.

“Ini kerana Lawas memerlukan sebuah lapangan terbang baharu yang lebih besar untuk memudahkan usaha menarik pelaburan ke kawasan utara Sarawak,” jelasnya.

Mengenai pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasan-kawasan pembangunan baharu di bawah Recoda, beliau menegaskan bahawa program terbabit di kawasan URDA, HDA dan NRDA adalah berdasarkan kehendak rakyat tempatan.

“Pembangunan di kawasan-kawasan ini merupakan kaedah pemerkasaan untuk memberi ruang kepada rakyat bertindak berdasarkan kehendak mereka.

“Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukan kepada setiap agensi bagi URDA, HDA dan NRDA bagi tempoh dua tahun untuk melaksanakan program pembangunan di kawasan tersebut, khususnya infrastruktur dan utiliti,” ujarnya.

Isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut hadir dalam majlis terbabit.