SARIKEI: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melaksanakan pelbagai pendekatan dalam usaha memperkasakan bakat golongan muda Sarawak dalam bidang penulisan.

Pengarah DBP Sarawak, Abang Haliman Abang Julai berkata, langkah proaktif itu juga bermatlamat mencungkil bakat baharu, di samping memartabatkan hasil karya penulisan anak tempatan.

Katanya, pendekatan berkenaan termasuklah mendampingi persatuan penulis dan mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan dengan melibatkan penyertaan secara akti pengiat bidang berkenaan.

“Melalui pendekatan ini, DBP berpeluang mengadakan perbincangan secara dua hala.

Sesi perjumpaan lebih menarik apabila diadakan secara santai namun diisi dengan pengisian ilmu berguna.

“Kita ke bahagian-bahagian untuk berjumpa dengan persatuan penulis kerana saya melihat DBP perlu bergerak seiring melaksanakan aktiviti bersama mereka.

Saya melihat di Sarawak ini terlalu banyak budaya dan kearifan tempatan yang harus kita pugar dan perlu dikembangkan,” katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama-sama ahli Kelab Pengiat Sastera Sarikei (KEPESSA) di sini, semalam.

Abang Haliman berkata, DBP bersedia menerima cadangan dan pendapat dalam meningkatkan kerjasama antara kedua-dua belah pihak.

Langkah itu katanya, bukan sahaja mengukuhkan persefahaman tetapi juga mampu membawa kesan lebih positif dalam dunia penulisan Bumi Kenyalang.

Menurutnya, DBP akan terus meningkat kerjasama dengan persatuan penulis kerana peranan penting mereka dalam membantu melahirkan lebih ramai pelapis penulis yang berbakat.

“Kita juga mengharapkan setiap karya yang dihasilkan menggunakan bahasa yang baik dan betul.

Saya yakin dan percaya sastera ini merupakan wahana untuk kita menggembangkan bahasa kebangsan kita.

“Di Marudi, kita mengadakan bengkel wadah bahasa dan sastera yang dikhususkan untuk generasi muda.

Hasil bengkel itu, kita melihat mereka sebenarnya kreatif dan mempunyai pelbagai idea yang bagus.

“Jadi kita bimbing penulis muda ini supaya mereka dapat berkarya dengan baik dan kita terapkan betapa pentingnya keakrifan tempatan itu untuk dijadikan bahan karya mereka,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi Kepessa Sarikei, Radzemah Bolhasan.