MIRI: Seorang lelaki tempatan dicekup polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Taman Tunku di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, suspek berusia 26 tahun itu ditahan selepas didapati berkelakuan mencurigakan semasa ditemui di tepi jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Mohd Sabri Zainol dalam satu kenyataan hari ini berkata, semasa pemeriksaan, pihak polis menemukan satu kotak berwarna merah yang mengandungi satu plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal dianggarkan berat kasar 51.00 gram disyaki dadah jenis Methamphetamine.

“Suspek kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk tindakan selanjutnya dan akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine yang juga akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

Beliau menambah, hasil siasatan menunjukkan suspek mempunyai kesalahan lampau berkaitan dadah dan mempunyai waran tangkap atas kesalahan dadah.

Difahamkan, turut disita adalah sejumlah wang tunai sebanyak RM521.

Pesalah boleh dikenakan hukuman mati jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952.