KUCHING: Sarawak perlu melahirkan ramai modal insan berkualiti seiring visi menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang tahun 2030. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bagi merealisasikan modal insan berkualiti yang cenderung kepada inovasi dan reka cipta, Sarawak perlu fokus kepada Pendidikan Stem – Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

Menurutnya, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (Tegas) sentiasa membantu kerajaan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kesedaran berhubung pendidikan Stem melalui program yang berimpak tinggi seperti Taman Permainan Stem, Penerokaan Dron dan Robotik (Drobotex), Literasi Komuniti Berinovasi (Comil) dan pelbagai lagi.

Katanya, tabung itu juga membawa program ke luar bandar bagi merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar terutama sekali dari segi pendidikan dan pembangunan infrastruktur.

“Saya dimaklumkan bahawa terdapat sekolah di luar bandar seperti SK Pulau Bruit dan SK Long Sepiling turut menjadi johan untuk pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan.

“Selain itu, SMK Jalan Arang menjadi johan di peringkat dunia dalam pertandingan Robotik Make X 2019 di Guangzhou, China.

“Ini merupakan satu kebanggaan buat kita rakyat Sarawak dan membuktikan bahawa kita boleh berjaya dalam bidang digital dan inovasi ini,” kata Abang Johari pada perasmian Taman Permainan Virtual Stem 2020 yang disiarkan secara langsung di laman Facebool Tegas pada Isnin.

Abang Johari memberitahu, di Taman Permainan Virtual Stem 2020 ini beliau difahamkan terdapat pelbagai infomasi, fakta, permainan, ceramah, demostrasi dan sebagainya yang telah dibuat secara virtual dan sangat menarik untuk para pengunjung.

Tambahnya, salah satu komponen yang membuat beliau tertarik ialah jelajah virtual ini merpakan permainan dalam talian berkaitan dengan pendidikan Stem.

“Semuanya dibuat dalam format 360 darjah yang memberikan gambaran seolah-olah kita berada di tempat program itu dianjurkan,” katanya.

Jelasnya, ini merupakan satu anjakan paradigma yang baharu kerana bermain sambil belajar dan ia sudah pasti akan menarik minat kanak-kanak. “Ini kita boleh lihat bahawa kanak-kanak pada masa ini banyak bermain mengunakan gajet seperti telefon dan komputer.

“Apabila minat mereka meningkat maka ia secara tidak langsung akan meningkatkan tahap motivasi. Tahap kognitif, tahap mengingat fakta, meningkatkan tahap kepantasan pemikiran, meningkatkan fokus dan berupaya meningkatkan pencapaian mereka,” ujarnya.

Katanya lagi, di sekolah pelajar mungkin hanya dibekalkan fakta dalam buku namun mereka sukar untuk memahami sepenuhnya fakta tersebut. “Namun ia diolah dalam bentuk permainan, maka ia secara tidak langsung menjadikan mereka lebih faham dan lebih minat dalam pendidikan Stem,” katanya.

Abang Johari menambah, semua aktiviti yang ada dalam Taman Permainan Virtual Stem ini turut boleh dibuat secara luar talian untuk pelajar di luar bandar menggunakan pemacu pena.

“Tegas akan menghantar pemacu pena tersebut ke semua sekolah di luar bandar yang masih belum ada akses Internet yang kuat untuk dicuba oleh pelajarnya,” katanya.

Beliau menggesa semua rakyat Sarawak terutamanya belia untuk mengambil peluang dalam pendidikan Stem bagi meningkatkan pengetahuan mereka. Jelasnya, belia merupakan masa depan Sarawak untuk negeri ini bagi mencapai status negeri termaju di Malaysia menjelang 2030.