KUCHING: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk melihat keperluan semua sekolah mubaligh di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau selaku menteri bertanggungjawab ke atas Unifor berkata penubuhan jawatankuasa itu adalah atas arahan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, yang mahukan ia seperti jawatankuasa yang ada untuk menjaga sekolah-sekolah Cina di negeri ini.

“Ketua Menteri telah meminta Unifor untuk membentuk sebuah jawatankuasa bagi melihat keperluan sekolah mubaligh di Sarawak.

Minggu depan kita akan mengadakan perjumpaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kerajaan kepada Keuskupan Anglikan di Kuching untuk pembangunan semula kolej teologi dan pusat latihan House of the Epiphany di sini, semalam.

Menjelas lanjut, Uggah berkata hasrat Abang Johari mahu Unifor menubuhkan jawatankuasa itu adalah kerana seperti masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Cina di sini, sekolah-sekolah mubaligh juga diletakkan sebagai “sekolah bantuan” menyebabkan ia tidak mendapat banyak bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

Justeru, beliau berkata, Unifor telah memaklumkan tiga denominasi Kristian utama di negeri ini untuk menghantar wakil bagi menghadiri perjumpaan minggu depan untuk membincangkan perincian mengenai penubuhan jawatankuasa sekolah mubaligh yang dicadangkan itu.

Menurut Uggah, tiga denominasi Kristian utama yang mempunyai sekolah mubaligh di negeri ini ialah Anglikan, Methodist dan Roman Katolik. Anglikan sahaja mempunyai 47 sekolah rendah dan lima sekolah menengah di seluruh Sarawak.