PEKA dan prihatin terhadap nasib rakyat, isi rumah dan golongan bujang yang terjejas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengumumkan berita baik untuk rakyat Malaysia, yakni Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 dengan peruntukkan RM7 billion pada 23 September lalu.

Bantuan ini adalah inisiatif tambahan khas Kita Prihatin yang menyediakan bantuan tambahan untuk rakyat melalui pemberian tunai tambahan. Ini juga merupakan lanjutan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), iaitu rakyat telah menikmati pelbagai manfaat hasil bantuan tersebut.

Dalam Perutusan Khas Kita Prihatin, pada Khamis, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bersetuju untuk BPN 2.0 sebanyak RM1,000 kepada 3.7 juta isi rumah B40, RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang, RM600 kepada hampir 1.4 juta isi rumah M40 dan RM300 kepada 1.7 juta kumpulan M40 bujang.

Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran. Pertama pada hujung Oktober 2020 dan keduanya, pada Januari 2021. Bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama pada Oktober adalah sebanyak RM700 dan keduanya, pada Januari 2021 adalah sebanyak RM300.

Tiada permohonan perlu dibuat untuk mendapatkan bantuan BPN 2.0, sebaliknya, kerajaan akan menyalurkan bantuan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang telah diluluskan di bawah BPN sebelum ini.

Manakala, bagi mereka yang layak tetapi tidak pernah menerima BPN, kerajaan akan memberi peluang untuk rayuan dan permohonan baharu.

BPN 2.0 merupakan bantuan tambahan yang disediakan oleh Kerajaan kepada golongan B40 dan M40 untuk meringankan beban mereka akibat kesan pandemik Covid-19.

Kesimpulannya, dengan bantuan yang bakal diterima, diharap BPN 2.0 dapat mendatangkan faedah kepada golongan sasaran. Bantuan tersebut tidak sepatutnya disalahgunakan, sebaliknya, dimanfaatkan sebaiknya.

Selain meningkatkan aliran tunai isi rumah, BPN 2.0 juga diharap dapat meningkatkan perbelanjaan domestik dan secara tidak langsung mampu membantu meningkatkan ekonomi negara.

Malah, isi rumah B40 dan M40 boleh memanfaatkan bantuan BPN 2.0 sebagai modal pusingan bagi menjalankan perniagaan kecil-kecilan atau perniagaan dalam talian. Selain itu, moratorium yang bakal berakhir pada 30 September ini, pastinya sedikit sebanyak menimbulkan keresahan bagi kebanyakan isi rumah terutamanya golongan B40.

Walaupun kerajaan telah mengambil inisiatif meneruskan program moratorium bersasar, tidak dinafikan masih ada golongan yang masih terkesan.

Justeru, dengan adanya BPN 2.0 ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban sedia ada golongan isi rumah yang terjejas. Diharap dengan adanya bantuan tambahan ini, golongan yang terjejas pasca-Covid-19 dapat menarik sedikit nafas lega dalam menampung perbelanjaan harian diri dan seisi keluarga.