KUCHING: “Jalan Ng Mujong dan Ng Sepanggil-Tunoh sedang dalam pembinaan, oleh itu keadaan jalan yang buruk adalah normal,” kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing.

Kenyataannya itu bagi membalas dakwaan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh seperti dilaporkan dalam akhbar berbahasa Cina pada Rabu lalu bahawa jalan raya di Baleh dalam keadaan menyedihkan walaupun Masing yang merupakan Adun Baleh adalah Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan.

Malah, Wong yang juga bekas Menteri Kewangan II menuduh Masing gagal melaksanakan pembangunan infrastruktur di kawasannya.

Justeru, Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) menjelaskan hampir RM3 bilion telah diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur di Baleh yang merangkumi lima projek jalan raya.

Jalan Ng Mujong yang menghubungkan Empangan Baleh.

“Jalan Ng Mujong sepanjang 73 km (jalan masuk ke Empangan Baleh yang dicadangkan) dengan kos RM1.2 bilion dan Ng Sepanggil-Tunoh (jalan masuk ke Tunoh) dengan kos RM600 juta sedang dalam pembinaan.
“Jalan Rh Nyamok / Ng Serau / Ng Gaat / SMK Baleh / Sg Kain yang bernilai RM380 juta juga akan dilaksanakan dalam dua fasa, yang dijadual mula dibina akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masing menambah jalan menuju Tunoh (Ng Mujong / Ng Tiau / Tunoh) yang dianggarkan bernilai RM550 juta telah diluluskan untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Selain itu, katanya Jambatan Batang Baleh, Jambatan Sg Mujong dan Jambatan Sg Banyau telah siap dengan kos RM123 juta,  sementara Jambatan Sg Merirai bernilai RM3.9 juta sedang dalam pembinaan.

“Saya telah berhasil membawa pembangunan infrastruktur bernilai berbilion ringgit ke Baleh, yang juga merupakan bukti usaha bersungguh-sungguh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membangun kawasan luar bandar,” katanya.

Jambatan Ng Mujong yang sedang dalam pembinaan.

Justeru, beliau menyifatkan tindakan Wong merendahkan pembangunan di Baleh sebagai serangan peribadi terhadapnya, sedangkan Wong yang pernah menjadi Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan dari 1996 hingga 2004 telah gagal membangunkan jalan luar bandar dalam kawasan Bawang Assan.

Sebaliknya, Masing berkata dalam tempoh hanya empat tahun menjadi Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, pelbagai projek telah diluluskan termasuk Jalan Sg Bidut / Kpg Tutus / Kpg Sebedil / Kpg Bungan di Bawang Assan yang sedang dalam pembinaan.

Dalam pada itu, Masing menyifatkan Wong jelas menentang pembangunan ke kawasan luar bandar apabila mempersoalkan keputusan kerajaan negeri membangun sebuah lapangan terbang di Tunoh walaupun kawasan ini kurang membangun.

“Bagi seseorang yang bergantung kepada konstituen luar bandar untuk mendapatkan sokongan, Dato Sri Wong Soon Koh telah menunjukkan dirinya bertentangan dengan diri sendiri,” tegas Masing.

Upacara pecah tanah bagi jalan Rh. Nyamok – Sg Kain.

Sempena pelancaran mesyuarat agung tahunan Dewan Perdagangan dan Industri Dayak (DCCI) Ke-17 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 25 April tahun lalu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengatakan keputusan Kerajaak Sarawak untuk membina lapangan terbang di Tunoh,  Kapit dibuat sebagai sebahagian daripada rancangan dasar jangka panjang untuk wilayah tersebut.

Pengerusi GPS itu mengatakan apabila jalan dibina untuk melengkapkan empangan Baleh dan Bakun, kawasan tersebut akhirnya akan dibuka untuk aktiviti pertanian hiliran komersial yang memerlukan keperluan untuk perhubungan yang lebih besar.

“Orang Dayak dapat membuka dan mengembangkan tanah mereka untuk pertanian komersial. Anda tahu hasil pertanian segar tidak tahan lama, ia mesti dihantar ke pasar secepat mungkin.

“Memiliki lapangan terbang akan membantu petani menjual hasil mereka ke pasar dan menjana  lebih banyak pendapatan.

“Saya tahu ada yang mempersoalkan tentang keperluan membangunkan lapangan terbang di sana seperti landasan kapal terbang di Bario sebelum ini, tetapi hari ini Bario mahukan landasan kapal terban yang lebih panjang agar pesawat yang lebih besar mendarat,”  kata Abang Johari.

Cadangan pembangunan lapangan terbang baharu Bukit Mabong, Kapit.