KUCHING: Seramai 33 pelajar dari kawasan Dun Pantai Damai menerima sumbangan dana pendidikan setelah berjaya menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pelajar yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi perlu memanfaatkan peluang tersebut.

“Peluang untuk melanjutkan pelajaran ke IPT adalah satu langkah untuk mencapai kejayaan dan tidak sepatutnya dipersiakan.

“Oleh itu, sebagai pelajar, kita perlu menggunakan peluang tersebut dengan sebaik mungkin dalam tempoh tiga hingga empat tahun dan jangan terpengaruh dengan budaya negatif yang ada dalam IPT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Bagi Kawasan Dun Pantai Damai.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut memberi penekanan kepada usaha memperkasa bidang pendidikan dan teknikal.

“Ia amat penting dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam kalangan anak tempatan bagi memenuhi keperluan pada masa akan datang. “Ketua Menteri juga telah memperkenalkan ekonomi digital agar dapat melahirkan ramai anak tempatan yang berkemahiran dan mempunyai kepakaran tertentu,” ujarnya.

Tambah beliau, sumbangan pendidikan ke IPT mula diperkenalkan sejak 10 tahun lepas bagi memberi galakan dan dorongan kepada pelajar. “Sumbangan tersebut akan memberi suntikan semangat untuk para pelajar dalam pengajian mereka, ” jelasnya