CYBERJAYA: Kit ujian COVID-19 yang dibangunkan Malaysia – ImmuSAFE, yang boleh mengesan dan menilai tahap perlindungan antibodi individu terhadap penyakit, dilancarkan.

Dibangunkan bersama oleh Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) dan Sengenics Sdn Bhd; ImmuSAFE adalah ujian serologi COVID-19 berasaskan makmal julung kalinya di dunia, multi-antigen dan multi-domain pertama (pemeriksaan serum darah), yang membolehkan penyaringan sampel COVID-19 yang tinggi, untuk diagnosis jangkitan semasa atau sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii Datuk Madani Sahari di majlis pelancaran di sini hari ini berkata kit ujian itu mempunyai 100 peratus sensitiviti dan disahkan secara khusus oleh Instiut Penyelidikan Perubatan (IMR), sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata berdasarkan kepada ujian yang dijalankan keatas 5,000 sampel semasa pembangunan ImmuSAFE, keputusan ujian boleh diperoleh dalam tempoh beberapa jam sahaja.

“Ujian ImmuSAFE ini tidak akan menggantikan ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR), tapi saya boleh katakan ini adalah sebagai ujian tambahan yang boleh memberikan gambaran penuh sama ada seseorang itu telah dijangkiti,” katanya kepada pemberita.

“Sekiranya ujian ImmuSAFE dan RT-PCR digabungkan bersama, ia akan menjadi penyelesaian terbaik bagi memahami status sama ada seseorang itu dijangkiti dengan COVID-19 atau sebaliknya,” tambahnya.

Madani berkata pihaknya masih menunggu kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di bawah KKM sebelum kit ujian itu boleh dipasarkan kepada orang ramai.

Beliau turut mendedahkan bahawa satu aplikasi yang dinamakan ImmuSAFE Tracker yang mempunyai keupayaan pengesanan pintar berasaskan MARii yang dilengkapkan dengan analisis big data dan platform kecerdasan buatan kini sedang dibangunkan.

“Aplikasi ini berupaya mengesan mobiliti dan maklumat pengesanan kontak individu, di samping log pekerja, maklumat rantaian bekalan, prosedur operasi standard (SOP), penguatkuasaan perniagaan – semuanya dinyatakan dalam tepat masa,” katanya.

Aplikasi ini juga boleh diintegrasi dengan teknologi pengesanan yang lebih maju seperti pengenalan wajah dan pemetaan sistem maklumat geografi (GIS),” katanya.

“Teknologi analisis big data akan membolehkan ramalan dan simulasi corak jangkitan dibuat berdasarkan kepada kluster jangkitan terbaharu,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Sengenics Sdn Bhd Dr Arif Anwar berkata pihaknya mengambil masa kira-kira lima bulan untuk membangunkan kit ujian ImmuSAFE itu.

“Kami bangaa untuk menjadi sebahagian daripada perkongsian dengan MARii dan IMR dan amat menghargai sokongan serta kepakaran teknikal kedua-dua pihak sepanjang pembangunan dan pengesahan kit ujian ImmuSAFE COVID-19,” katanya.