MIRI: Kaum Penan semakin memahami bahawa pendidikan adalah penting untuk maju bersama-sama kaum lain di negeri ini.

Demikian dedah Adun Telang Usan, Dennis Ngau pada Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan dan Biasiswa Persatuan Pembangunan Tipun Penan (Petipun).

“Orang Penan telah mencapai kemajuan dari segi pendidikan apabila mempunyai seramai 252 pelajar peringkat pendidikan tinggi dalam kalangan masyarakat pribumi minoriti.

“Awal tahun 80-an, tiada orang Penan yang masuk ke Tingkatan 5, jika ada pun, hanya seorang atau dua orang, apa lagi memiliki Ijazah Sarjana atau Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD).

“Hal ini kerana, pada masa itu, kehidupan agak sukar… mereka masih tinggal jauh di hutan dan mempunyai pandangan yang berbeza mengenai pendidikan,” kata Dennis.

Beliau menambah, ibu bapa dan anak-anak pada masa dahulu tidak begitu mementingkan pendidikan, namun persepsi itu telah berubah kerana masyarakat Penan sekarang secara perlahan-lahan memahami bahawa pendidikan adalah kunci untuk kehidupan yang lebih baik.

DENNIS Ngau (tengah) bersama-sama tiga pelajar PhD (belakang, dari kiri) Azuriaty Atang, Sarina Keti dan Augustine Freddy Minggu.

Dennis turut mengambil kesempatan menasihati orang Penan agar tidak mudah tersinggung dengan propaganda badan bukan kerajaan (NGO) yang mementingkan diri kerana persatuan mereka atau menyokong NGO ini tidak membawa apa-apa kebaikan kepada mereka.

Dalam pada itu, turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Petipun, Temenggong Datuk Hasan Sui. Hasan memberitahu, bahawa Petipun mencatat sejumlah graduan dalam komuniti sejak 1998, iaitu seramai 155, 87, tujuh dan tiga orang Penan telah menamatkan atau masih melanjutkan pengajian, masing-masing untuk peringkat Sarjana Muda, Diploma, Sarjana dan PhD.

“Terdapat sekitar 20,000 orang Penan di Sarawak sekarang ini, dan lebih 250 telah berjaya bergelar graduan. “Ini merupakan pencapaian yang sangat menggembirakan bagi kita.

Saya berharap kaum lain juga dapat mencontohi kaum Penan dari segi pendidikan,” katanya.

Selain itu, beliau juga mengingatkan rakyat agar terus menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Adun Telang Usan yang telah bekerja keras untuk membawa perkembangan kepada masyarakat Penan.

Seramai 25 orang Penan yang terdiri daripada dua pemegang Ijazah PhD, satu Ijazah Sarjana, tujuh Ijazah Sarjana Muda dan enam pelajar Diploma menerima bantuan kewangan pendidikan daripada Petipun pada majlis itu.