KUCHING: Syarikat pelaburan emas Genneva Malaysia Sdn. Bhd diarah membayar pampasan lebih RM30 juta kepada 232 individu selaku plaintif di Mahkamah Tinggi Kuching di sini, pada Rabu.

Hakim Datuk Lee Heng Cheong membuat keputusan tersebut selepas meneliti kerugian yang dialami oleh kesemua plaintif serta bukti konkrit.

Peguam yang mewakili semua plaintif iaitu Wong King Wei, Clement Wong Teck Hoo dan Alex Ngu Sze Shae berpuas hati dengan keputusan hakim terbabit.

Menurut King Wei, seramai 269 plaintif yang membuat tuntutan ke atas syarikat pelaburan emas namun 37 daripadanya bertindak membatalkan saman selepas itu.

“Saya berpuas hati dengan keputusan hakim yang menjadi penanda aras kepada sistem kehakiman di Malaysia. “Mangsa penipuan harus tampil untuk mendapatkan hak mereka kerana mahkamah akan membuat penghakiman yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas perbicaraan terbabit.

Tegasnya, individu atau syarikat yang memungkiri kontrak pula harus bertanggungjawab terhadap kesalahan dilakukan dan mereka tidak boleh lepas tangan.

Terdahulu, kesemua plaintif mendakwa mereka menyertai empat jenis perjanjian dengan syarikat terbabit yang merangkumi pembelian produk emas, membeli dan menebus emas untuk peringkat seterusnya serta penjualan balik produk emas kepada defendan.

Bagaimanapun, plaintif selaku pelabur emas mendakwa mereka mengalami kerugian keseluruhan RM37,351,520 apabila syarikat itu gagal menyediakan produk emas atau nilai emas yang dibeli.

Sehubungan itu, semua plaintif yang melabur sekitar hujung Ogos hingga awal September 2012 memohon ganti rugi khas daripada Genneva Malaysia Sdn. Bhd termasuk kadar faedah dan ganti rugi am.

Kes seumpama itu turut dilaporkan di Semenanjung Malaysia setelah 1,065 pelabur emas memfailkan saman ke atas syarikat yang sama kerana didapati melanggar perjanjian.

Difahamkan kes berkenaan merupakan yang pertama berlaku di Sarawak.