KUCHING: Kerajaan China akan memastikan hubungan diplomatik dengan Malaysia terus berkekalan demi kesejahteraan bersama.

Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Cheng Guang Zhong berkata, ia sejajar dengan sokongan positif yang diterima melalui hubungan yang terjalin.

“Tahun ini merupakan tahun ke-46 terjalinnya hubungan diplomatik antara China dengan Malaysia, sebagai rakan baik.

“Sejak hubungan ini terjalin, Kerajaan China telah menjadi pengeksport dan pengimport terbesar di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Sambutan Ulang Tahun ke-71 Penubuhan Republik Rakyat China pada 27 September, menerusi persidangan video yang diadakan secara dalam talian.

Menurutnya, usaha dan pencapaian luar biasa Kerajaan Sarawak dalam mempromosikan kerjasama yang bermanfaat dalam pelbagai aspek perlu dihargai.

Ia termasuk pelaksanaan projek pada bulan ini oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang meluluskan projek pembinaan keluli kompleks baja 10 juta tan di Samalaju Sarawak, yang secara umumnya dikendalikan oleh Metallurgical Corporation of China.

KENANGAN… Guang Zhong serta yang lain bergambar pada sambutan Ulang Tahun ke-71 Penubuhan Republik Rakyat China.

“Projek ini akan menyediakan keluli berkualiti tinggi, tenaga bersih dan mewujudkan ribuan pekerjaan di Sarawak.

“Kami tidak akan melupakan sokongan yang diberikan oleh kerajaan dan rakyat Sarawak dalam meningkatkan keyakinan kami sepanjang berhadapan dengan wabak Covid-19,” tambahnya.

Menurut Zhong lagi, pihaknya juga bekerja keras untuk membantu Sarawak, termasuk berkongsi rancangan diagnosis dan rawatan dalam memerangi wabak Covid19 yang melanda.

“Kami telah menyelaras dan menyumbang beberapa barang keperluan seperti pelitup muka, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan sebagainya.

“Setakat ini, China menyumbang sebanyak 800,000 pelitup muka dan lebih 10,000 peralatan perlindungan diri kepada Sarawak, termasuk agensi kerajaan, barisan hadapan, komuniti dan lain-lain,” tambahnya lagi.

Beliau berharap hubungan baik tersebut itu berkekalan untuk memberi sokongan antara satu sama lain.

“Saya percaya bahawa dengan usaha kerjasama ini, ia mampu memberi keuntungan yang lumayan kepada kedua-dua pihak untuk meningkat ke tahap baharu,” ujarnya lagi.