KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian mengingatkan kepada semua rakyat Sarawak untuk terus berjaga-jaga dan mengambil iktibar daripada pertambahan mendadak kes positif Covid-19 di Sabah.

Jelasnya, jika rakyat Sarawak tidak mengamalkan kelaziman baharu seperti penjarakan fizikal, menggunakan pelitup muka dan menjaga kebersihan diri, ia akan menjadi permulaan gelombang ketiga Covid-19 di negeri ini.

“Gelombang ketiga akan menjadi lebih besar. Seperti untuk tempoh beberapa hari selepas Pilihan Raya Negeri di Sabah, kes positif Covid-19 terus bertambah.

“Jumlah kes positif Covid-19 yang jauh lebih besar mungkin akan berlaku kerana ramai yang hadir pada pilihan raya tersebut kembali ke tempat asal, kembali ke Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Masyarakat Penyayang sempena Pesta Kuih Bulan di Padang Bola Jaring Flat KMC di sini, pada Rabu.

Beliau mahu semua rakyat bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan berhubung Covid-19 kerana semua pihak menyedari wabak membunuh tersebut cukup memberi cabaran dalam kehidupan. “Kita cukup terkesan dengan Covid-19 ini. Kita kehilangan selama-lamanya 19 warga Sarawak akibat Covid-19 ini.

“Begitu juga dengan kesan kepada aktiviti perniagaan, sekolah ditutup, ramai hilang pekerjaan dan banyak lagi. “Jika gelombang ketiga ini berlaku, ia mungkin datang lebih pantas dan kita tidak tahu bagaimana kita dapat menghadapi semula PKP seterusnya perlu berjaga-jaga dengan norma baharu ini.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada semua rakyat Sarawak yang bersatu padu mengekang dan mengawal gelombang Covid-19 ini. “Seperti Festival Kuih Bulan, ia simbol penyatuan semua rakyat Sarawak mengekang Covid-19,” katanya.

Adun Batu Kawa itu menggesa masyarakat di rumah pangsa itu memanfaatkan peluang menerusi penganjuran sesi dialog oleh Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng dan kaunselor bagi mengutarakan permasalan dalam komuniti.

“Seperti kuih bulan itu sendiri, dahulunya mesej rahsia diselitkan di dalam kuih itu. “Untuk itu, mesej terbuka saya kepada semua rakyat Sarawak sempena Festival Kuih Bulan ini ialah Sarawak ialah bersamasama kita memajukan Sarawak terus ke hadapan dan bersatu menangani dan mengekang Covid-19,” katanya.