PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan hantaran Twitternya pada awal pagi semalam hanyalah bertujuan menasihati rakyat Malaysia dan bukan memberi bayangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula.

Menerusi akaun rasmi Twitternya @DGHisham membalas hantaran seorang pengguna @zalifahms yang mencadangkan agar dilaksanakan larangan pergerakan rentas negeri untuk sementara waktu.

Beliau membalas hantaran itu dengan: “How about all stay at Home for awhile again?” bagaimanapun telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat sekiranya kerajaan melaksanakan semula PKP.

“Perkara (twitter) itu bukan perkara yang baharu. Sekali lagi saya mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia yang tiada urusan penting di luar, dinasihatkan duduk di rumah dan kalau nak keluar rumah kerana ada urusan penting, patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Itulah tujuan utama saya tweet (buat hantaran). Hanya mengingatkan rakyat Malaysia untuk duduk di rumah kalau tiada urusan penting, kalau ada urusan penting, pastikan kita patuh SOP, amalkan 3W (wash, wear and warn) dan elakkan 3S (sesak, sempit, sembang),” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedar ada dalam kalangan petugas kesihatan dan rakyat Malaysia yang letih dalam mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Tapi perlu diingatkan virus COVID-19 tidak pernah letih dan kalau kita leka dan ambil mudah, jangkitan akan berlaku kerana virus dah ada dalam komuniti.

“Kalau kita ambil mudah atau anggap keadaan telah kembali normal, itu satu kesilapan besar dan ketidakpatuhan kita (mungkin) akan melihat jangkitan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata KKM menjangkakan berlaku gelombang baharu jangkitan COVID-19 jika kes positif terus mencatatkan peningkatan.

“Bagaimanapun, tanggungjawabnya ialah pada kita sama ada kita boleh mendatarkan lengkung itu sekali lagi. Kita telah lakukannya sebelum ini dan kita boleh lakukan lagi, namun kita perlukan kerjasama semua orang, patuhi SOP,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata semua pihak termasuk pengurusan sekolah perlu menguruskan risiko jangkitan di institusi pendidikan masing-masing.

Beliau yang ditanya mengenai kebimbangan ibu bapa di Selangor jika anak mereka ke sekolah berikutan kadar kebolehjangkitan yang tinggi ketika ini, berkata perkara itu ada dibincangkan oleh KKM bersama Kementerian Pendidikan (KPM).

“Memang risiko tetap ada. Kalau tak nak risiko kita semua duduk di rumah. Tetapi kalau kita keluar dari rumah, kita kena menguruskan risiko itu.

“Jadi setakat ini di sekolah kalau tiada jangkitan kita akan biarkan. Contohnya di Kedah, ada sekolah yang berlaku jangkitan di antara guru dan murid dan kita tutup sekolah serta jalankan proses nyah cemar dan nyah kuman di kawasan sekolah.

“Tapi setakat ini tiada laporan ada kluster di sekolah,” katanya.– BERNAMA