KUANTAN: Lebih 700 pegawai dan anggota polis kini menjalani kuarantin selepas ‘diterbangkan’ ke Sabah bagi membantu operasi sepanjang pilihan raya negeri (PRN) itu, kata Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din.

Beliau berkata daripada jumlah itu, lebih 200 kakitangan ialah dari Semenanjung yang kini ditempatkan di sebuah hotel yang diwartakan sebagai pusat kuarantin oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) manakala bakinya dari Sarawak yang diarahkan menjalani kuarantin di sebuah pusat latihan di negeri tersebut.

“Kita mula menghantar bantuan tenaga ke Sabah secara berperingkat sebelum hari penamaan calon (12 Sept) dan jumlah pegawai dan anggota yang perlu dihantar semakin meningkat menjelang hari pengundian kerana lebih ramai anggota sedia ada di sana perlu dikuarantin.

“Mereka yang menjalani proses kuarantin kini sedang menunggu keputusan ujian saringan dan belum dibenarkan pulang ke rumah kerana kita tidak mahu mengambil risiko berlaku penularan disebabkan oleh anggota kita yang telah berkhidmat di Sabah,” katanya.

Datuk Ramli Din

Ramli berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2020 di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini, yang dirasmikan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Turut hadir ialah Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan dan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ramli menjelaskan walaupun jumlah mereka yang perlu menjalani kuarantin agak besar, perkara itu tidak menjejaskan perjalanan atau operasi pihak polis di negeri yang menghantar pegawai atau anggota tersebut.

Ditanya kesediaan PDRM jika kerajaan mahu melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran peningkatan kes positif COVID-19 selepas PRN Sabah, Ramli berkata mereka tidak mempunyai kesukaran kerana sudah berpengalaman daripada PKP sebelum ini.

Mengulas mengenai Hari Inovasi itu, Ramli berkata untuk tahun ini mereka menerima 35 penyertaan melibatkan ciptaan baharu atau inovasi ke atas kemudahan sedia ada yang dapat membantu memudahkan atau menambah baik pelaksanaan tugas PDRM.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada inovasi oleh polis Kedah dua tahun lalu, dinamakan ‘ballistic chamber’ yang digunakan pegawai atau anggota untuk mengosongkan senjata api sebelum diserahkan kepada bahagian persenjataan, sekali gus mengurangkan risiko berlaku kemalangan tembakan.

Beliau juga berkata setiap rekaan dan inovasi yang dihasilkan perlu melepasi piawaian SIRIM sebelum boleh dikembangkan untuk kegunaan dalaman PDRM, selain terdapat beberapa produk yang dihasilkan menerima ‘lamaran’ daripada pihak swasta untuk dimajukan.

— BERNAMA