KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi fokus utama memperluas pendidikan sains dan teknologi sebagai perkara penting dalam membina generasi kreatif, inovatif dan kompetitif melalui penubuhan Pusat Sains Sarawak.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, objektif penubuhan pusat berkenaan untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, sekali gus menarik minat, kesedaran serta semangat pelajar, guru dan masyarakat untuk meneroka bidang sains dan teknologi.

“Kita memerlukan Pusat Sains yang dapat menyediakan pendedahan persekitaran kepada masyarakat khasnya golongan muda mengenai penemuan sains dan teknologi secara interaktif, menyeronokkan dan tidak formal.

“Saya juga dapat bayangkan pusat berkenaan bekerjasama dengan sekolah dalam memperluas pengalaman asas kepada pelajar untuk membantu mereka memahami penerapan topik Stem melalui program formal dan tidak formal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Pusat Sains Sarawak oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Petra Jaya, semalam.

Tambahnya, pusat itu akan menjadi kunci kepada Sarawak dalam menyediakan rakyatnya untuk mengikuti perkembangan teknologi seiring dengan revolusi industri.

Jelas Manyin, Pusat Sains akan membantu pelajar dan orang awam memahami pengalaman yang mendalam dan interaktif melalui penerokaan sains dan aktiviti secara langsung daripada sekadar mendengar kuliah atau menonton demonstrasi semata-mata.

“Program yang ditawarkan di Pusat Sains juga dapat melengkapkan aktiviti kokurikulum sains sekolah dengan menerapkan pembelajaran penerokaan sains dan teknologi melalui projek mini pelajar.

“Selain itu, pusat berkenaan juga menyediakan peluang kerjaya bukan hanya untuk graduan dan profesional berasaskan sains, malah lepasan sekolah atau pesara daripada pelbagai bidang turut berpeluang melanjutkan kerjaya sebagai sukarelawan sains tambahan,” ujarnya.

Manyin memaklumkan bahawa pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris untuk subjek Sains dan Matematik bagi sekolah rendah akan bermula pada 2021.

“Sarawak satu-satunya negeri yang menggunakan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek tersebut. “Penggunaan bahasa utama ini amat penting kerana memberi peluang yang lebih meluas untuk anak Sarawak menguasai bidang sains dan teknologi,” katanya lagi.