KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersetuju menyediakan peruntukan tambahan untuk elaun petugas dan penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Sarawak demi menjaga kebajikan mereka.

Katanya, perkara itu akan dilaksanakan segera, susulan kadar elaun yang dibayar kepada petugas dan penyelia PDK ketika ini turut mendapat perhatian isterinya Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang termasuk Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

“Saya setuju untuk menambah elaun PDK kerana isteri saya sangat prihatin dengan PDK,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Usahawan Mikro Kebajikan Sarawak (HUMKS) 2020 di Hotel Pullman di sini, pada Rabu.

Terdahulu, Fatimah dalam ucapannya memohon agar Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan tambahan untuk elaun petugas dan penyelia PDK di Sarawak, sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak mengambil tindakan positif mengenai hal ini.

Katanya, ini kerana penilaian semula perlu dibuat ke atas upah perkhidmatan penyelia dan petugas di PDK. Beliau menambah, perkara itu juga diusulkan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff semasa lawatan rasmi beliau ke Sarawak pada 16 hingga 18 September lalu.

“Ini kerana pada masa ini, setiap petugas di pusat berkenaan hanya dibayar elaun RM800 manakala penyelia dibayar elaun RM1,200 sebulan, walhal mereka berkhidmat sepanjang hari sama seperti penjawat awam lain,” katanya.

Fatimah berkata, terdapat 55 PDK beroperasi di seluruh Sarawak yang memberi pemulihan, latihan, pendidikan, kesaksamaan peluang dan integrasi sosial Orang Kurang Upaya (OKU) kepada 2,084 pelatih oleh 297 petugas dan 55 penyelia.

Selain itu Abang Johari berkata, beliau turut mempertimbangkan permohonan Fatimah mengenai pertukaran status pelantikan Pegawai Pemulihan Perubatan (ahli terapi), penambahan bila-ngan pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak serta bantuan bulanan kebajikan.

Katanya, perkara itu akan dikaji dalam Bajet 2021 yang bakal dibentang sempena persidangan Dun pada November nanti kerana melibatkan terma pekerjaan serta implikasi kewangan.

“Kalau baik kita akan tunaikan. Kita akan mempertimbangkan satu pendekatan menyeluruh supaya terma pekerjaan itu dapat kita unjur termasuk implikasi kewangan.

“Kewangan saya fikir tidak juga besar tetapi terma pekerjaan ada melibatkan caruman atau mengikut kelayakan masingmasing,” katanya.