KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki berasal dari Simunjan maut setelah kenderaan dinaikinya terlibat dalam kemalangan jalan raya di hadapan gereja St Francis, semalam.

Kejadian berlaku apabila kenderaan jenis 4WD Mitsubishi dipandu mangsa merempuh sebuah Myvi yang diparking di bahu sebelah kiri jalan sekitar jam 6.30 petang di lokasi.

Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu menerusi satu kenyataan mengesahkan mangsa dikenali sebagai Abdul Rambli Jobeli berusia 49 tahun.

Menurutnya, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan ketika bergerak dari pasar Riyal menuju Kota Samarahan lalu memyebabkannya terbabas dan melanggar kenderaan Myvi yang diletakkan di bahu jalan.

“Siasatan awal mendapati pemandunya(mangsa) dipercayai telah terkena serangan jantung ketika memandu.

“Mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri kemudian dibawa ke Pusat Jantung Samarahan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital berkenaan,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu katanya, mayat kini masih berada di pusat jantung bagi urusan siasatan lanjut dilakukan.

Tambahnya, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.