Kami bantu hingga ke hujung dunia

KUCHING: Serba Dinamik Holdings Berhad mengembangkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah Pasukan Serba Care di peringkat global yang menumpukan aspek keselamatan dan kesihatan, pembangunan pendidikan dan persekitaran hijau untuk kesejahteraan hidup.

Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Holding Berhad Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, syarikat itu memberi tumpuan kepada tiga kerangka utama dalam membina komuniti yang sihat, hidup dalam ekosistem lestari dan sejahtera.

Menurutnya, Serba Dinamik memainkan peranan penting memperkasakan kelestarian hidup dan alam sekitarnya termasuk menjana ekonomi warganya.

“Ini memberikan kami aspirasi dan inspirasi mulia dalam perniagaan. Malah cara ini juga memastikan syarikat memberi impak positif kepada semua pihak yang berkepentingan.

“Justeru, kita harus berusaha untuk maju dan mempertingkatkan komitmen serta semangat tinggi hingga ke generasi akan datang,” katanya.

Abdul Karim menambah, syarikat juga merancang lebih banyak aktiviti pendidikan dengan kerjasama Biasiswa Yayasan Mara seperti program sekolah angkat di kawasan luar bandar.

Katanya, Pasukan Serba Care juga menggerakkan bantuan kepada komuniti setempat seperti Bintulu, Miri, Paka, Labuan, Kuala Lumpur dan Indonesia.

“Selain itu, bantuan juga diberi kepada rumah anak yatim dan organisasi bukan kerajaan,” katanya.

Sejak dua dekad lalu, Serba Dinamik Holdings Berhad melalui anak syarikat milik Serba Dinamik International Ltd memupuk hubungan rapat dengan Afrika Barat.

Pada fasa pertama, syarikat itu memberi bantuan kepada Republik Guinea dan Republik Senegal dan menyumbang 20,000 alat perlindungan diri, bekalan perubatan, pelitup muka serta pengimbas suhu infra merah dengan kos mencecah RM1 juta.

“Serba Dinamik juga Serba Dinamik perkenalkan Pasukan Serba Care Kami bantu hingga ke hujung dunia menyokong kempen kebersihan penduduk asli Afrika Selatan.

“Kami juga fokus kepada kepentingan masyarakat sejagat untuk membantu mengatasi krisis kesihatan global di samping menuju ke arah negara yang mampan,” katanya.

Untuk rekod, Serba Dinamik membina kolaborasi strategik dengan Bank Pembangunan Islam yang berpusat di Jedah untuk memastikan bekalan perubatan mencukupi ketika wabak Covid-19.

Serba Dinamik juga memberikan bantuan hampir RM1.5 juta untuk program CSR di seluruh negara sejak 28 Mac lepas dalam memerangi wabak Covid-19 termasuk menyumbang akses perubatan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh.

Serba Dinamik turut memberikan sokongan dan bantuan segera kepada keluarga dan individu B40 di seluruh Sarawak.