KUCHING: Stesen TV Sarawak akan menemui penonton sempena siaran sulungnya pada 10 Oktober ini sebelum dirasmikan pada keesokan harinya, sempena majlis sambutan hari jadi Yang Di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, bagaimanapun majlis yang berlangsung bermula 9 Oktober itu bakal menyaksikan pelbagai aktiviti lain.

“Masyarakat boleh mengikuti siaran TV Sarawak  di saluran Astro 122,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai program sambutan ulang tahun TYT kata Kui Hian, terdapat lima segmen program bakal diadakan pada masa ini yang dimulai dengan Majlis Kesyukuran (Doa Kesyukuran) pada 9 Oktober yang di Masjid India Bandar Kuching.

“Manakala pada keesokan paginya sesi pemeriksaan perbarisan kehormat turut diadakan bertempat di Dewan Undangan Negeri,” katanya pada sidang media di bangunan Wisma Bapa, di sini.

Menurutnya, istiadat perarakan oleh pegawai dan kontinjen pada tahun ini tidak diadakan ekoran wabak Covid-19 yang melanda.

Bagaimanapun, acara istiadat pada pagi itu akan dimulakan dengan iringan 17 das tembakan senapang, sebaik sahaja Tun Pehin Sri Taib dan isterinya tiba di lokasi.

“Acara ini juga akan dimeriahkan lagi dengan beberapa persembahan tarian dari pelbagai etnik diikuti dengan majlis pengurniaan kategori anugerah dan pingat negeri kepada penerima.

“Pada sebelah malam, program akan diteruskan lagi dengan majlis makan malam bersama Ketua Menteri dan pemimpin tempatan yang lain di Dewan Jamuan Dewan Undangan Negeri,” katanya lagi.

Selain itu, hadirin juga bakal menyaksikan pelbagai aktiviti menarik di sebelah malam seperti majlis memotong kek, persembahan nyanyian, tayangan video ucapan hari jadi dan juga Nopeng Suk.

Pada 11 Oktober, acara minum petang di Hotel Waterfront akan diadakan diikuti penyampaian sumbangan kepada petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan.