SIBU: Konvensyen Khas Parti Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah bermula pagi ini dengan kehadiran lebih 1,000 perwakilan daripada sebanyak 25 cawangan parti itu.

Perwakilan daripada N41 Kuala Rajang, N.42 Semop, N.43 Daro, N.44 Jemoreng, N.45 Repok, N.46 Meradong, N.47 Pakan, N.48 Meluan, N.49 Ngemah, N.55 Nangka sehingga N.65 menghadiri konvensyen sehari itu.

Konvensyen yang mematuhi sepenuhnya Prosidur Operasi Standard ( SOP) itu dimulakan dengan pembentangan beberapa tajuk menarik antaranya Taklimat Pilihan Raya Untuk Petugas- petugas Pilihan Raya Parti PBB Zon Tengah, Peranan dan Tanggungjawab Agen Parti Dalam Pilihan Raya, Undang-undang dan Peraturan Pilihan Raya, Perkongsian Strategik Infrastruktur, Elektrik dan Bekalan Air Bersih, Tanah di Sarawak, Hak Rakyat Ke Atas Tanah Terpelihara dan Rekoda Pemangkin Pembangunan.

Konvensyen khas ini dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada petang ini.

Dalam perutusan beliau, Abang Johari yang juga Presiden PBB berharap sesi perbincangan dan pembentangan dalam perhimpunan itu memberikan halatuju yang jelas kepada perjuangan parti.

Dengan rekod pencapaian yang amat baik dan semangat yang jitu sejak ditubuhkan pada 1973, beliau yakin PBB mampu terus
menggalas perjuangan Sarawak ke arah negeri maju menjelang 2030.

“PBB adalah sebuah parti yang telah menjadi tulang belakang kepada pentadbiran dan pembangunan negeri Sarawak.

“Generasi sekarang mewarisi perjuangan pemimpin terdahulu, bergalas aspirasi rakyat Sarawak, khususnya kaum Bumiputera.

“Ahli-ahli PBB perlu terus mengamati perjuangan untuk memastikan hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia1963 dan Laporan IGC terus dihormati dan dilaksanakan sewajarnya.

” Perpaduan dan kesatuan kita dalam parti adalah tunjang kepada usaha untuk memastikan negeri ini dihormati sebagai equal partner yang telah membentuk Malaysia pada 1963,” katanya.