MIRI: Syarikat Kumpulan Samling sentiasa bersedia menghantar pasukan kecemasan ke kawasan luar bandar untuk membina semula infrastruktur penting yang rosak akibat hujan lebat.

Pada 8 September lalu, sebahagian daripada satu jambatan yang menghubungkan 91 kampung di Daerah Baram runtuh ekoran hujan lebat dan banjir kilat yang berlaku beberapa minggu lalu.

Susulan insiden itu, pasukan kecemasan dihantar ke lokasi kejadian untuk menangani masalah dan membina sebuah jalan sementara.

Menurut kenyataan media Samling, kejadian terbabit berpunca daripada pergerakan tanah yang menyebabkan sebahagian besar jambatan runtuh.

“Kami kemudian segera mengarahkan pasukan dari Kem Pangkalan Pusat Baram bersama logistik diperlukan ke lokasi kejadian pada hari yang sama.

“Satu jalan sementara dibina untuk kenderaan kecil. “Pasukan kemudian mengambil langkah yang diperlukan untuk memperbaiki jambatan itu dan memastikan ia beroperasi sepenuhnya,” katanya yang turut memaklumkan jalan itu juga dapat dilalui oleh semua kenderaan termasuk kenderaan berat.

Tambah kenyataan itu, jambatan berkenaan merupakan jalan penghubung penting kepada masyarakat di Baram dan Tinjar hingga ke Bario.

“Selain itu, kami juga memulihkan jalan raya Long PillahLong Miri yang runtuh pada 13 September lalu.

“Langkah pemulihan telah diambil dengan segera bagi memastikan kenderaan kecil dapat menggunakan jalan tersebut sebelum beroperasi sepenuhnya pada dua hari kemudian (15 September),” ujarnya.