MATU tidak lagi terpinggir, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Majlis Penangguhan Pesta Matu pada 30 Jun 2019.

“Ia sama seperti kawasan yang maju. Daerah Matu tidak akan lagi terpinggir tatkala siapnya perhubungan jalan raya, jambatan serta pembangunan komersial yang berkeluasan 19 ekar,” katanya.

Kemajuan yang menyapa Pekan Matu hari ini sesuai dengan pelaksanaan pembinaan sembilan jambatan sememangnya menjadi pelengkap perhubungan termasuk bekalan elektrik dan air bersih untuk penduduk pedalaman dan luar bandar di negeri ini.

Pembinaan sembilan jambatan itu dijangka siap sepenuhnya pada 2024 dan kesemuanya tanpa tol – salah satu daripada usaha kerajaan untuk memastikan langkah jangka panjang yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat.

Untuk rekod, Kerajaan Sarawak mengambil alih projek berkenaan sebagai salah satu pendekatan untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk kampung dan rumah panjang di Delta Rajang.

Jambatan Igan yang bernilai RM285 juta merupakan satu kemudahan strategik di Bahagian Mukah yang mempunyai reka bentuk begitu istimewa.

Apabila siap kelak, jambatan yang menjadi pelengkap perhubungan kawasan pesisir itu bakal melonjakkan potensi ekonomi Bahagian Mukah dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, perikanan, pemprosesan dan perkapalan.

Mengulas mengenai pembangunan Matu khasnya kawasan Dun Jemoreng, kata Adunnya Datuk Dr Juanda Jaya, pekan itu bakal menjadi pekan yang moden selain mempunyai jalan raya baharu untuk kemudahan rakyat di daerah tersebut.

Katanya, dengan kewujudan Jambatan Batang Igan, penduduk dari Tanjung Manis, Pulau Bruit, Daro dan Matu akan lebih cepat sampai ke Mukah.

“Malah, perjalanan penduduk di Sarikei ke kawasan utara lebih pendek melalui Jambatan Batang Igan ke Tanjung Manis sebelum ke Jambatan Muara Lassa tanpa melalui Sibu untuk ke Bintulu dan Miri.

“Jambatan Igan akan mengubah landskap pembangunan di kawasan tengah Sarawak apabila ia merupakan langkah berani Kerajaan Sarawak.

Apabila peluang pekerjaan meningkat, pendapatan penduduk setempat turut meningkat kerana para petani dan nelayan dapat membawa keluar produk masing-masing terus ke pasaran.

“Maka, penghijrahan penduduk kampung ke bandar akan berkurangan kerana peluang perniagaan terbuka luas di samping mampu menarik para pelabur.

“Ia juga menjadi pelengkap kepada pembangunan kawasan pesisir, sekali gus mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan kepada penduduk tempatan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, apabila peluang pekerjaan meningkat, pendapatan penduduk setempat turut meningkat kerana petani dan nelayan dapat membawa keluar produk masing-masing terus ke pasaran.

Ia tambahnya, mengurangkan penghijrahan penduduk kampung ke bandar kerana peluang perniagaan terbuka luas di samping mampu menarik pelabur.

“Jika kita lihat pembangunan di Semenanjung Malaysia yang mempunyai Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Timur-Barat, ia merupakan dasar untuk melonjak pembangunan sosio-ekonomi rakyat.

“Begitu juga di Sarawak kerana negeri kita amat luas dan ia memerlukan rangkaian jalan raya yang besar,” ujarnya.

Dr Juanda juga menyentuh mengenai mercu tanda pembangunan Matu yang terbentang di depan mata – Masjid Daerah Matu bernilai RM12.8 juta ini yang dapat menampung 3,000 jemaah.

“Masjid ini berkonsepkan sejarah Islam, bumbungnya sama seperti masjid di Andalusia manakala mimbarnya pula satu-satunya mimbar seperti itu yang terdapat di Malaysia selain di Masjidil Haram,” katanya.

Lebih menarik lagi katanya, mimbar ini dihasilkan oleh penduduk di Daerah Matu sendiri menggunakan kayu belian yang memberi gambaran hebatnya kepakaran anak tempatan yang bersifat antarabangsa.

“Ini belum lagi projek yang sudah diimpikan untuk dibangun melibatkan kawasan seluas 17.97 ekar dengan pembangunan lima blok yang akan dilengkapi dengan satu lot pasar tamu, 24 unit untuk industri kotej, medan selera, rumah kedai dan banyak lagi,” katanya.

Justeru Dr Juanda berkata, penduduk di Matu bukan sahaja berkemahiran malah mereka juga membuktikan bahawa keharmonian dan perpaduan turut kukuh terjalin dalam kalangan warganya.

Katanya lagi, industri sagu ataupun rumbia juga akan dibangunkan secara menyeluruh, termasuk kerja-kerja pembersihan sungai di kawasan berkenaan untuk mengelak banjir menjelang musim tengkujuh.

Mengulas mengenainya kata Dr Juanda, kerja-kerja membersihkan Sungai Matu yang kini sedang giat dilaksanakan dijangka selesai sepenuhnya November depan.

Projek itu merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak untuk mengurangkan risiko banjir selain mengekalkan kelestarian alam semula jadi sungai yang pernah menjadi laluan utama penduduk suatu ketika dahulu.

Ia melibatkan Sungai Kampung Sekaan Besar, Sungai Kampung Tian dan Sungai Kampung Sok dan Igan.

Sehubungan itu, beliau berharap projek berkenaan berjalan lancar dan siap mengikut jadual.

Setakat ini katanya, kerja pembersihan selesai di Sungai Kampung Jemoreng, Sungai Kampung Bawang dan Sungai Bruan Besar dan Tutus.

“Sementara lapan kampung yang tidak mempunyai akses laluan jentera iaitu Kampung Treng Matu, Muut, Kampung Bawang Hulu, Kebuaw Tian, Masjid Tian dan Tengah Tian proses pembersihan akan dilakukan mengikut kesesuaian kampung itu,” katanya.