KUCHING: Seramai 200 pengusaha lada dari kawasan Tarat, Mambong dan Serembu menerima manfaat bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin dan Bantuan Skim Tanaman Baru Lada daripada Kamenterian Perusahaan Perladangan dan Komditi (KPKK), semalam.

Timbalan Menteri Willie Mongin berkata, ia susulan senario turun naik harga lada dalam pasaran dunia, yang bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia malah turut dirasai negara pengeluar lada dunia lain.

“Lada kekal sebagai salah satu tanaman yang menguntungkan terutamanya bagi lada berkualiti premium yang dijual dengan harga lebih tinggi.

“Dalam hal ini, KPPK melalui Lembaga Lada Malaysia (MPB) akan terus menyokong para pekebun dan industri lada negara secara keseluruhan melalui penyaluran bantuan kepada para pekebun kecil lada di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dan Bantuan Skim Tanaman Baharu Lada di Dewan Serba Guna Teng Bukap, Padawan, semalam.

Menurutnya, tahun ini kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7 juta di bawah Program Pembangunan Kawasan Penanaman Lada bagi membantu pekebun dan penggiat industri lada untuk meluas serta menggantikan tanaman lada yang tidak lagi sesuai untuk diusahakan.

Beliau berharap pengusaha tanaman dapat bersama-sama meneruskan sokongan terhadap sektor perladangan.

“Ini kerana penglibatan pekebun kecil penting dalam menjayakan agenda pemerkasaan sektor komoditi negara.

“KPPK berharap mereka terus menjaga dan menyelenggara kebun atau tanaman dengan baik kerana dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, tanaman mudah terkena jangkitan penyakit atau terdedah kepada serangan makhluk perosak,” jelas Willie lagi.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Lada Malaysia Ir Baka Riden; Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia Stanley Liew; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Lembaga Lada Malaysia Philip Gaweng, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pasaran dan Perniagaan Lembaga Lada Malaysia Langgi Chaling.