SIBU: Projek pembinaan lapangan terbang baharu Bukit Mabong Kapit dijangka bermula pada 2021.

Pembinaan lapangan terbang Bukit Mabong bakal beroperasi sebagai laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dijangka siap menjelang suku ketiga 2023.

Sehubungan itu, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, setakat ini, kerja survei, lukisan dan tender bagi projek berkenaan sudah siap sepenuhnya.

“Projek ini bakal menjadi pelengkap akses perhubungan yang sedang giat dibina oleh kerajaan untuk penduduk Kapit,” katanya pada sesi Pembentangan Kertas Perkongsian Strategik: Jalan Perhubungan di Sarawak dan Lapangan Terbang Baharu di Bukit Mabong, Kapit sempena Konvensyen Khas PBB Zon Tengah di sini, hari ini.

Projek pembinaan lapangan terbang Bukit Mabong untuk pesawat penumpang dan kargo, dan lapangan terbang Bebuling bagi pesawat kargo, akan mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan.

Julaihi berkata, penyediaan kemudahan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk mentransformasikan ekonomi, selain membina rangkaian perhubungan dan keselamatan perkhidmatan udara di kawasan luar bandar.

Lokasi lapangan terbang Bukit Mabong, yang bernilai RM173.5 juta, dipilih kerana terletak di lokasi terpencil, serta berpenduduk jarang dengan populasi sekitar 50,000 orang dan mempunyai masalah perhubungan.

Lapangan terbang itu dengan landasan sepanjang 790 meter itu boleh menampung pesawat penumpang jenis ‘twin otter’ dan pesawat Cessna 208 bermuatan tiga tan.

“Pembinaan jalan dari Sibu ke Kapit sepanjang 101 kilometer (km) membuktikan kerajaan sentiasa berusaha menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat. Begitu juga dengan pembinaan akses empangan Baleh dan lain-lain lagi.

“Kesemua projek ini menelan perbelanjaan besar justeru, kita amat memerlukan sokongan dan kerjasama rakyat agar perlaksanaannya berjalan lancar,” katanya.