KUCHING: Selain menyediakan aplikasi digital pendaftaran kemasukan pelanggan, pengusaha premis makanan turut digalak menyediakan sudu, garpu dan penyepit dengan rendaman air panas, bagi membunuh bakteria ataupun virus.

Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dalam satu kenyataan berkata, ini merupakan salah satu syarat lesen bagi premis makanan yang beroperasi untuk mengelak tindakan tegas termasuk pembatalan lesen jika tidak berbuat demikian.

“Semua premis perniagaan digalak menggunakan sekurang-kurangnya satu aplikasi digital seperti MySejahtera, Qumunity dan Covid Trace untuk mendaftar masuk pelanggan di premis perniagaan selain buku rekod manual.

“Aplikasi ini bukan sahaja untuk membantu pengawasan penularan wabak Covid-19 dalam negara, malah membantu Kementerian Kesihatan Malaysia mendapat maklumat awal bagi mengambil tindakan cepat dan berkesan,” ujar kenyataan itu semalam.

Pengusaha premis perniagaan di kawasan pentadbiran MPP dinasihati mematuhi semua arahan atau garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam membendung penularan wabak ini.