KUCHING: Pandemik Covid-19 mendorong kepada promosi pelancongan tempatan yang lebih agresif, kata Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu berkata, jika tidak berlaku Covid-19, promosi pelancongan tempatan masih dilaksanakan seperti sebelum pandemik.

“Untuk pelancongan tempatan, kita mempunyai program Sia Sitok Sarawak. Amat mengejutkan apabila kita menerima respons yang baik daripada masyarakat tempatan.

“Jadi, tanpa Covid-19 kita masih fokus mempromosikan pelancongan kepada China, Eropah sehingga kita lupa tempat sendiri.

“Kadangkala kita lupa tempat sendiri. Jadi, jangan anggap Covid-19 sebagai pencetus masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Bazar Lama Kuching: Pemetaan Budaya dan Program Promosi Pelancongan di Harmony Arch, Lebuh Carpenter di sini, pada Khamis.

Tambahnya, walaupun Covid-19 memberikan kesan kepada seluruh dunia tetapi terdapat hikmah besar di sebalik musibah itu.

“Covid-19 juga membuatkan kita berfikir dan menyedari banyak perkara. “Inilah masa kita melihat kembali apa-apa yang terbaik untuk dilakukan.

“Saya tidak menganggap Covid-19 perkara yang baik, tetapi kita perlu melihat hikmah yang berlakunya sekarang,” tegasnya.

Untuk rekod, industri pelancongan termasuk Sarawak berhadapan dengan penurunan jumlah pelancong ekoran penularan pandemik Covid-19 bermula pada Febuari lalu. Sehubungan itu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan mengambil langkah proaktif menyusun semula strategi untuk meningkatkan pertumbuhan industri pelancongan yang terjejas.